Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memanggil akhbar Kwong Wah Yit Poh susulan penyiaran gambar Jalur Gemilang yang tidak lengkap di akaun Facebook rasminya, hari ini.
MCMC melalui kenyataan Rabu malam memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana kandungan terbabit dimuat naik secara dalam talian.
“MCMC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut, sekiranya perlu,” katanya.
Suruhanjaya itu turut memberi amaran tegas kepada semua pihak termasuk media dan orang awam supaya tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh dianggap mempersenda atau memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini.
“MCMC komited memastikan penggunaan media digital kekal tertib serta menghormati simbol-simbol kebangsaan,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Kwong Wah Yit Poh menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap, selepas Sin Chew Daily turut didakwa melakukan perkara sama sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
KDN melalui kenyataan kepada media turut memaklumkan pihaknya memulakan siasatan serta-merta terhadap Sin Chew Daily berikutan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar mereka, semalam.
Kementerian itu turut berkata pihak Sin Chew Daily sudah dipanggil hari ini bagi tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab juga sudah diserahkan.- 16/4/2025