Kebiasaan Yang di-Pertuan Agong jarang sekali membuat teguran terbuka terhadap sesuatu isu.
Jadi andaian yang boleh dibuat disini ialah apa yang berlaku ini sangat serius.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Rabu buat teguran terhadap akhbar berbahasa Cina yang paling berpengaruh di negara ini,Sin Chew Daily.
Ini kerana akhbar yang ditubuhkan pada tahun 1929 itu telah menyiarkan paparan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka depan semalam,Selasa.
Dalam ilustrasi berkenaan, Jalur Gemilang dipaparkan bersama bendera China sempena liputan Lawatan Negara ke Malaysia oleh Presiden China, Xi Jinping.
Menerusi hantaran melalui Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda menegaskan kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit itu tidak boleh diterima.
Titah Sultan Ibrahim, bendera negara adalah lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara yang tidak boleh dipersendakan.
Baginda bertitah, bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, sebaliknya ia mewakili perjuangan, sejarah, kemerdekaan dan semangat rakyat jelata.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan, boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah baginda.
Seri Paduka bertitah, pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Terdahulu, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan siasatan serta-merta terhadap Sin Chew Daily kerana menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar itu, semalam.
KDN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihak Sin Chew Daily sudah dipanggil, hari ini, bagi tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab turut diserahkan.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Gara gara kesilapan tu akhbar Sin Chew Daily berdepan kritikan hebat dari pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai satu bentuk kecuaian dan tindakan tidak sensitif.
Susulan itu, pihak Sin Chew Daily mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kegagalan memaparkan bulan sabit dalam ilustrasi terbabit didakwa berpunca daripada kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.- 16/4/2025