Berbagai pihak menyatakan kekecewaan dan kesal dengan kesilapan akhbar berbahasa Cina terbesar di Malaysia Sin Chew Daily yang menerbitkan gambar muka depan bendera Jalur Gemilang yang salah.
Antaranya adalah NGO Gerakan Media Merdeka (GERAMM) yang menjelaskan organisasi media memikul tanggungjawab besar dalam memelihara kepercayaan awam dan menghormati simbol negara.
Walaupun kesilapan boleh berlaku, tambahnya, ia mesti ditangani secara telus iaitu melalui semakan dalaman, penambahbaikan prosedur editorial serta komitmen untuk mengelakkan kesilapan serupa pada masa hadapan.
“Dalam masa yang sama, GERAMM mengecam sekeras-kerasnya sebarang seruan untuk mengambil tindakan melampau, termasuk boikot, gangguan terhadap petugas media atau penggunaan undang-undang lapuk seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).
“Reaksi sebegitu tidak membantu perbincangan yang membina dan hanya membahayakan kebebasan media di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, insiden itu sekali lagi menyerlahkan keperluan mendesak untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia yang bebas dan berfungsi.
Jelasnya, badan seperti itu yang bebas daripada campur tangan kerajaan atau politik boleh menjadi platform profesional dan adil bagi menangani isu etika serta aduan awam terhadap media tanpa perlu menggunakan tindakan undang-undang.
“Kebebasan media dan akauntabiliti mesti bergerak seiring.
“Sehubungan itu, kami menggesa Sin Chew Daily memastikan tindakan bertanggungjawab diambil secara dalaman, dan kami menyeru orang ramai menangani isu ini secara berhemah dan tidak mengambil tindakan yang boleh menimbulkan ketakutan atau bahaya kepada wartawan serta pengamal media,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, pula dipetik berkata isu itu kini menjadi pertikaian dalam kalangan pelbagai pihak yang menjurus kepada sentimen 3R (agama, kaum dan raja).
Ujarnya, tindakan tegas dan segera itu juga dilihat sebagai satu bentuk keadilan mengambil kira pendekatan sama yang diambil pihak berkuasa dalam beberapa kes sebelum ini seperti melibatkan penyampai radio Era; binaan kuil haram dan pencerobohan tanah haram.
“Walaupun akhbar berkenaan sudah memohon maaf dan mengakui ia kesilapan teknikal, tetapi isu ini sudah pun menimbulkan kegelisahan serta keresahan dalam kalangan rakyat.
“Maka, kerajaan perlu bertindak segera terhadap akhbar berkenaan bagi meredakan kegelisahan dan keresahan rakyat itu, lebih-lebih lagi kesilapan yang dikatakan tidak disengajakan itu sukar diterima,”ujarnya.
Terdahulu, Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Sin Chew Daily telah diberikan surat tunjuk sebab selepas dipanggil bagi siasatan berhubung isu penyiaran Jalur Gemilang tidak lengkap.
KDN dalam kenyataan memaklumkan, siasatan dilaksanakan serta-merta di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Pada Selasa, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.-17/4/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK