Saturday - 19, April 2025

Menara KL ditutup sementara…pendudukan MKLSB tidak sah

Share

Kementerian Komunikasi mengingatkan sebarang pengoperasian dan urus niaga yang masih dijalankan oleh syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) hingga kini adalah tanpa kebenaran kerajaan.

Menurutnya bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).

Satu kenyataan kementerian itu pada Khamis kata pendudukan syarikat MKLSB di atas tapak Menara KL selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.

“Kerajaan Madani menerusi Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur ialah milik kerajaan,”katanya.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.

“Oleh itu, sebarang pengoperasian dan urus niaga yang masih dijalankan oleh MKLSB hingga kini adalah tanpa kebenaran kerajaan,”menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga beritahu bangunan Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bermula Khamis untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Tarikh pembukaan semula menara komunikasi antara yang tertinggi di dunia itu akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media.

Pada 31 Mac lepas, Kementerian Komunikasi menerusi soalan lazim (FAQ) mengenai konsesi pengurusan Menara KL memaklumkan pengambilalihan konsesi melibatkan Menara KL tidak akan menjejaskan operasi dan pekerja di menara komunikasi itu.

Kementerian itu dilapor memaklumkan rundingan bersama syarikat konsesi baharu LSHSM telah menggariskan terma-terma yang tidak menjejaskan operasinya, yang akan berjalan seperti biasa.- 17/4/2025

Read more

khabar terbaru