Lapangan Terbang Changi telah dinobat lapangan terbang terbaik di dunia pada 2025 dalam Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax, firma perundingan penerbangan berpangkalan di London.
Ia telah merebut semula gelaran tersebut daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Qatar, yang menjuarai senarai tersebut pada 2024.
The Straits Times melaporkan ini merupakan kali ke-13 Lapangan Terbang Changi menduduki tangga pertama, lantas memecah rekod dalam sejarah anugerah tersebut yang bermula pada 2000.
Lapangan Terbang Changi juga mendapat gelaran sebagai Lapangan Terbang Terbaik di Asia; Lapangan Terbang Terbaik yang berkhidmat kepada 60 juta hingga 70 juta penumpang; Pengalaman Menjamu Selera Lapangan Terbang Terbaik; dan Tandas Lapangan Terbang Terbaik di Dunia sewaktu majlis yang diadakan di Madrid, Sepanyol baru-baru ini.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad menduduki tangga kedua, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo (Haneda) Jepun di tempat ketiga, Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan di tangga keempat dan kemudian Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Jepun di tangga kelima.
Manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menduduki tempat ke-65 pada senarai tahun 2025.
Anugerah yang diberikan adalah berdasarkan tinjauan global yang dijalankan Skytrax.
Lebih 13 juta pengguna lapangan terbang dari lebih 100 negara memberi respons kepada tinjauan tersebut dari Ogos 2024 hingga Februari 2025.
Pengunjung diminta menilai lapangan terbang berdasarkan pengalaman mereka di titik berbeza – dari tempat mendaftar masuk, ketibaan, pemindahan, beli-belah, keselamatan dan imigresen hingga ke tahap keberangkatan.-18/4/2025