Seperti yang diduga petugas akhbar Sin Chew Daily yang dikaitkan dengan kesilapan mencetak ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap dikenakan tindakan.
Satu kenyataan akhbar berkenaan pada Khamis memberitahu Ketua Pengarang Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Subeditor akhbar berkenaan digantung tugas.
Katanya “pihak pengurusan Sin Chew Daily mengumumkan bahawa keputusan ini berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal sehingga siasatan selesai.”
Selasa lalu, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi sebuah jong di muka depan yang memaparkan bendera Malaysia dan China, sempena lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke negara ini.
Namun, bendera Malaysia yang dipaparkan tidak lengkap — ia tidak memaparkan bulan sabit — dan perkara itu mencetuskan kritikan serta kecaman daripada pelbagai pihak.
Akhbar berbahasa Cina yang berpengaruh dan ditubuhkan pada tahun 1929 itu memohon maaf atas kesilapan berkenaan dan menerbitkan versi pembetulan dalam edisi keesokan harinya.
Akhbar itu menyifatkan kesilapan tersebut sebagai “ralat teknikal”.
Pihak pengurusan turut berjanji akan menjalankan semakan menyeluruh serta menambah baik prosedur editorial mereka, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang terlibat.