Harinya belum ditetapkan lagi tetapi yang pasti minggu depan.
Kalau kita rajin ikuti kontroversi isu projek pembangunan yang cetuskan keresahan orang Melayu di Kampong Sungai Baru,Kampong Baru,Kuala Lumpur macam macam cerita berlegar.
Nampaknya Ahli Parlimen Titiwangsa (dimana Kampong Sungai Baru terletak dalamnya) Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhajat untuk ‘cerita semua’ agar isu ini difahami dalam kontek yang betul.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi akan memanggil satu sidang akhbar khas pada minggu depan.
Bercakap kepada wartawan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kementeriannya di Kampung Baru pada Sabtu,Johari kata penduduk kampung dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut akan dijemput untuk menghadiri sidang media berkenaan.
“Saya akan adakan satu sidang media khas supaya semua orang faham, NGO yang datang ke sini, sebenarnya mereka tidak faham. Jadi saya akan jelaskan betul-betul supaya kedua-dua pihak faham.
“… Saya nak jelaskan daripada mula sampai akhir,” katanya.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan.
Pada Disember lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.
Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023.- 19/4/2025