SUARA PEMBACA

Antara Seruan Hadi dan Panggilan Ilahi

Presiden PAS telah mengeluarkan kenyataan semasa berkempen di PRK DUN Ayer Kuning bahawa ibadah haji/ umrah boleh ditangguhkan demi kemenangan politik Islam.

⁠Beliau menggunakan hujah bahawa Rasulullah s.a.w sendiri menangguhkan ibadah umrah dan pulang ke Madinah kerana terhalang dengan persetujuan dalam Perjanjian Hudaibiyah.

⁠Jelas Haji Hadi menggunakan hujah ini di luar konteks dan menimbulkan kekeliruan. Pada beliau jemaah haji Malaysia yang menjadi pengundi di PRK DUN Ayer Kuning wajar menangguhkan pemergian mereka ke tanah suci kerana undian dalam PRK lebih utama dari melaksanakan ibadah haji.

⁠Benarkah pemikiran yang sedemikian? Pertembungan dalam pilihanraya disamakan dengan perang Rasulullah s.a.w menentang kafir Quraisy? Atau Haji Hadi sekali lagi mengkafirkan calon UMNO yang bertanding?

⁠UMNO dan PH sendiri tidak pernah memusuhi Islam malah kedua-duanya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. BN dan PH melafazkan sumpah yang sama sama dengan sumpah yang dilafazkan Haji Hadi. Sudah tentu ia lebih teruk dari merapu.

⁠Kita perlu ingat, pada bulan Zulkaedah tahun ke 6H, Rasulullah s.a.w bersama para sahabat telah bertolak ke Mekah untuk menunaikan umrah atau ziarah Baitullah. Setelah bergerak beberapa kilometer atau lebih tepatnya di Bir Ali, Baginda dan sahabat mengenakan ihram.

⁠Haji Hadi terlupa bahawa bulan Zulkaedah merupakan bulan haram berperang dalam budaya masyarakat di Jazirah Arab ketika itu. Atas pertimbangan tersebut, Rasulullah s.a.w memberikan mesej yang jelas kepada para pengintip Quraisy Mekah, bahawa tujuan Baginda ke Mekah bukan hendak berperang tetapi menunaikan ibadah umrah/ ziarah Baitullah.

Mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w mendahulukan kemenangan politik berbanding melaksanakan umrah/haji adalah dakwaan yang mengelirukan. Sebab itu Baginda berihram di Bir Ali. Orang yang berihram dilarang berperang. Apatah lagi dalam bulan haram.

⁠Itulah ketulusan niat dan tujuan nabi keluar dari Madinah, jelas dan ikhlas. Tanpa sebarang perkiraan politik.

⁠Apabila terdapat halangan untuk meneruskan tujuan asalnya, maka Baginda tiada pilihan selain memetrai perjanjian.

⁠Jika diteruskan niat asal maka pertempuran akan berlaku, maka Baginda akan dituduh menggunakan agama (berihram) sedangkan tujuan sebenarnya adalah untuk berperang.

⁠Baginda akan mudah difitnah mengengkari tradisi larangan berperang dalam bulan haram yang menjejaskan nama baik dakwah Islam itu sendiri.

⁠Jelas jauh sungguh perbezaan perjuangan antara Haji Hadi dan Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w tidak mengizinkan sebarang ruang untuk perjuangan murni Islam difitnah dan diburukkan.

⁠Maka marilah kita menjadi pentaksub Allah dan pentaksub Rasulullah, jangan kita menjadi pentaksub Haji Hadi.

Haji Amidi bin Abdul Manan,
Pengarah,
Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button