Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai umat Islam mengutamakan kemenangan politik daripada pergi menunaikan haji dan umrah menimbulkan kontroversi di dalam masyarakat.
Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta orang ramai tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan berkaitan hukum menunaikan ibadah haji semasa musim pilihan raya berbanding tanggungjawab mengundi.
Menurutnya dalam satu kenyataan pada Isnin, hukum agama merupakan perkara yang memerlukan penelitian mendalam, kefahaman menyeluruh serta disiplin ilmu yang tinggi dan perlu dirujuk kepada mufti.
Jelas Na’im adalah amat penting untuk masyarakat menjaga ketertiban dan tidak mencetuskan kekeliruan yang boleh mengganggu keharmonian apatah lagi melibatkan ibadah yang merupakan rukun Islam serta proses demokrasi penting bagi negara.
“Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada pihak mufti serta institusi berwibawa untuk memberikan pandangan dan penjelasan berdasarkan hukum syarak dan konteks semasa,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi memberi isyarat supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan ibadah umrah dan haji.
Tegasnya ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah daripada peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional, Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 26 April manakala pengundian awal pada 22 April.-21/4/2025