Saturday - 26, April 2025

Paus Francis berperanan penting dukung usaha perdamaian global – PM Anwar

Share

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Paus Francis berperanan penting mendukung usaha perdamaian global.

Sambil merakamkan ucapan takziah atas pemergian Paus Francis, Anwar berkata Paus Francis adalah salah seorang tokoh moral dunia dan simbol belas ihsan sejagat.

Paus Francis membina jambatan antara budaya dan agama telah mengangkat martabat beliau di mata dunia, termasuk dalam kalangan masyarakat Islam.

“Beliau bersuara dengan kejelasan moral mengenai penderitaan besar di Gaza dan mengingatkan dunia bahawa kita mesti menzahirkan belas kasihan yang sama terhadap semua mangsa keganasan, tanpa mengira di mana mereka berada,” katanya.

Anwar turut memuji ketegasan Paus Francis dalam memperjuangkan hak dan maruah pelarian serta migran dan menyifatkan tindakannya sebagai contoh kepimpinan yang berteraskan nilai kemanusiaan dan belas ihsan.

Melalui tulisan di facebooknya, Anwar menyifatkan Paus Francis bukan sahaja dikenang sebagai paus pertama dari Selatan Global, tetapi juga sebagai suara moral yang lantang memperjuangkan nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan dialog antara agama.

“Beliau akan dikenang bukan sahaja sebagai paus pertama dari Selatan Global, tetapi juga sebagai suara moral yang memperjuangkan belas kasihan, kerendahan hati dan keadilan dalam dunia yang bergolak.

“Komitmen beliau terhadap persefahaman antara agama, pemeliharaan alam sekitar serta maruah golongan yang terpinggir telah melangkaui batas institusi Gereja Katolik,” katanya.

Mengimbau kenangan peribadi, Perdana Menteri berkata beliau pernah diberi penghormatan mengunjungi Paus Francis di Vatican pada awal pentadbiran.

Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada penganut Katolik di seluruh dunia, khususnya komuniti Katolik di Malaysia.

Terdahulu, Paus Francis yang meninggal dunia pada usia 88 tahun, dikenang sebagai pemimpin Gereja Katolik yang berjiwa rakyat dan banyak menyentuh isu global sepanjang kepimpinannya.-22/4/2025

Read more

khabar terbaru