Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) memainkan peranan yang penting dalam menyemai kesedaran penggunaan Internet selamat dalam kalangan rakyat negara ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata NADI akan membantu pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang merupakan sebahagian daripada pendekatan proaktif Kerajaan MADANI untuk memastikan penggunaan Internet selamat sentiasa diutamakan.
Ia selaras dengan pertumbuhan pesat penggunaan teknologi serta pelbagai aplikasi dalam talian di Malaysia.
“Kita telah memantapkan beberapa program dengan hasrat bukan sekadar komuniti setempat datang ke NADI ini, tetapi pasukan ini (NADI) juga keluar…
“Apa yang kita usahakan termasuklah Kempen Internet Selamat (KIS), kita hantar pengurus-pengurus untuk pergi ke sekolah dan meningkatkan pemahaman dan kesedaran dalam kalangan para pelajar dan juga guru-guru dan ibu bapa tentang kepentingan memastikan anak-anak terutamanya selamat semasa dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Sebaran Maklumat Nasional di Taman Sri Skudai pada Isnin.
Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Pendidkan dan Penerangan Aznan Tamin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Marina Ibrahim.
Sementara itu Fahmi berkata usaha kerajaan memperluas jaringan NADI juga berjalan lancar, dengan 1,099 pusat dirancang di seluruh negara dan pada masa sama sembilan lagi sedang dalam proses pembinaan.
Beliau berkata ketika ini Johor mempunyai 101 pusat NADI dengan kira-kira 10 peratus daripada 2.2 juta keseluruhan ahli NADI seluruh negara berada di negeri ini.-22/4/2025