Siapa saja yang tidak tahu kisah sebenarnya tentu pelik melihat gambar Menteri Pengangkutan Anthony Loke serahkan cenderahati berupa plak Royal Selangor kepada Presiden China Xi Jingping.
Gambar itu dirakam di lorong pintu belakang tempat letak kereta bawah tanah hotel penginapan Presiden China itu sebelum beliau berlepas ke Kemboja mengakhiri lawatan tiga hari ke Malaysia pada 17 April baru ini.
Apa hal di lokasi yang berserabut itu dan tidak sesuai dari segi protokol itu serta kenapa Loke yang juga Setiausaha Agung DAP perlu bagi cenderahati kepada pemimpin utama China itu?
Dalam pada itu ada yang persoal ukiran naga tidak bersesuaian sebagai cenderahati.
Kisah Loke serah cenderahati itu sudah jadi isu heboh di media sosial sejak gambar berkenaan tersebar.
Loke ialah Menteri Pengiring kepada Presiden China semasa lawatan rasmi itu.
Pendakwah bebas Firdaus Wong turut berkongsi satu video yang memaparkan seorang wanita mempersoal tindakan Loke itu.
Menerusi video tersebut, wanita berkenaan mempersoal sama ada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri tahu serta memberi kelulusan berhubung penyerahan plak terbabit.
Menurut wanita itu, Loke telah menyalah gunakan kuasanya sebagai menteri pengiring dan melanggar protokol kerana menyerahkan cenderahati tersebut di pintu belakang.
Akhbar Sin Chew Daily, sebelum ini memetik ahli Parlimen Seremban itu sebagai berkata cenderahati terbabit diberikan berhampiran pintu belakang demi keselamatan Xi.
“Fikirkanlah, adakah Xi Jinping, pemimpin negara besar perlu melalui pintu belakang?
“Ini demi keselamatan Presiden Xi. Beliau perlu masuk ke dalam kereta sejurus selepas keluar dari hotel, jadi kami hanya dibenarkan menyerahkan cenderahati itu di tempat letak kereta bawah tanah,” katanya.
Menurutnya, Xi berpuas hati dengan hadiah terbabit, malah beliau turut kagum dengan layanan dan keramahan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Malaysia sepanjang lawatannya ke nagara ini.
Ditemui wartawan selepas satu majlis di kementeriannya di Putrajaya pada Selasa,Loke meminta agar isu pemberian cenderahati kepada Presiden Xi Jinping tidak diperbesarkan dan diperkatakan.
“Cenderahati itu adalah hadiah peribadi dan saya tidak cakap pemberian daripada kerajaan,” katanya.
Mengenai cenderahati ukiran naga itu pula, Loke berkata simbol berkenaan melambangkan kekuatan, kebijaksanaan dan persahabatan dalam budaya Cina dan plak itu adalah 100 peratus buatan Malaysia iaitu oleh Royal Selangor.
Presiden China itu mengadakan lawatan selama tiga hari di Malaysia bermula 15 April lalu atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Berikut ialah catatan Loke di laman facebooknya mengenai pemberian cenderahati kepada Presiden Xi Jingping :
Selesai menjalankan tugas rasmi sebagai Menteri Pengiring sempena lawatan negara oleh Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping, saya turut berkesempatan untuk mengiringi konvoi rasmi beliau dari hotel penginapan menuju ke KLIA.
Sebagai tanda kenang-kenangan atas lawatan bersejarah ini, saya telah menyampaikan cenderahati berupa plak Royal Selangor yang diukir dalam bentuk naga—simbol yang melambangkan kekuatan, kebijaksanaan dan persahabatan dalam budaya Cina. Semoga hubungan dua hala Malaysia-China terus diperkukuh demi masa depan yang makmur dan stabil.
- 22/4/2025