KEMASKINI: Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Ramli Ngah Talib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa 1 Mei ini.
Beliau menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini hari ini.
Pada istiadat sama, Ramli, 84, turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang membawa gelaran Tun.
Ramli dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2029.
Pelantikan Ramli bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menyandang jawatan itu bermula 1 Mei 2021.
BERITA SEBELUM INI
Ramli Ngah Talib terima watikah perlantikan TYT Pulau Pinang hari ini…?
Angkat sumpah gabenor baharu Pulau Pinang dijangka akan berlangsung tidak lama lagi, dengan bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Dr Ramli Ngah Talib dikhabarkan akan memegang jawatan itu.
Satu istiadat penyampaian tauliah pelantikan secara rasmi dijadual diadakan di Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada hari Khamis, lapor Sinar Harian.
Ramli, 84, merupakan tokoh politik berpengalaman luas yang telah memegang pelbagai jawatan penting di peringkat negeri dan persekutuan.
Beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Perak dari tahun 1982 hingga 1999, sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dari tahun 2004 hingga 2008.
Sekiranya pelantikan ini disahkan, Ramli akan menggantikan Tun Ahmad Fuzi, 76, yang memegang jawatan TYT Pulau Pinang sejak 1 Mei 2021.
Tun Ahmad Fuzi sebelum ini merupakan seorang diplomat kanan yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dari 2004 hingga 2009.
Sebelum ini, media melaporkan pelantikan Yang di-Pertua Negeri yang baharu masih menjadi teka-teki apabila tiada sebarang nama individu didedahkan untuk mengisi jawatan tersebut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, urusan pelantikan adalah urusan pihak istana selepas senarai nama diserahkan oleh kerajaan negeri kepada Pejabat Perdana Menteri pada Mac lalu.
Beliau bagaimanapun masih dengan pendiriannya yang enggan mendedahkan nama individu yang bakal mengisi jawatan berkenaan selain memberi jawapan bersifat umum.
Terdahulu, timbul khabar angin mengenai nama-nama calon yang bakal Tun Ahmad Fuzi, termasuk nama Ramli.
Untuk rekod, tiga TYT Pulau Pinang sebelum ini bukan berasal dari negeri ini iaitu Tun Sardon Jubir dari Rengit, Batu Pahat, Johor dan berkhidmat daripada 1975 hingga 1981.
Tun Awang Hassan pula berasal dari Muar, Johor dan berkhidmat dari 1981 hingga 1989.
Selain itu, Tun Hamdan Sheikh Tahir, berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan berkhidmat daripada 1989 hingga 2001.-24/4/2025