Saturday - 26, April 2025

Kesilapan pada Jalur Gemilang : Sengaja atau tidak, apa yang berlaku tidak boleh dipandang ringan – PM

Share

Entahlah bagaimana hendak disimpulkan hal ini dalam prespektif yang betul.Bukan sekali tetapi sudah tiga kali berlaku insiden kesilapan melibatkan Jalur Gemilang dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini paparan tidak lengkap berlaku di akhbar berbahasa Cina,Sin Chew Daily yang berpengaruh,kemudian di pameran makanan bayi dan terbaru di Kementerian Pendidikan (KPM).

Pada Khamis Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan mesej jelas gara gara kejadian melibatkan Jalur Gemilang yang menyentuh sensitiviti nasional.

Hal ini disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Katanya Perdana Menteri memaklumkan bahawa sama ada sengaja atau tidak, apa yang berlaku itu tidak boleh dipandang ringan.

Menurut Tunku Nashrul, Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada layanan dua darjat dalam isu tersebut.

“Siasatan dilakukan tanpa mengira pihak yang terlibat – sama ada media tempatan, syarikat antarabangsa mahupun agensi kerajaan.

“Prinsip keadilan dan hormat kepada simbol negara mesti ditegakkan oleh semua, tanpa pengecualian,” katanya.

“Kekhilafan ini dipercayai berpunca daripada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej tersebut.

“Sama ada sengaja atau tidak, hakikatnya ia tetap menyentuh sensitiviti nasional yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Tunku Nashrul berkata, walaupun Perdana Menteri menyambut baik inovasi dalam bidang teknologi termasuk AI yang kian meluas dalam pelbagai sektor namun, beliau menegaskan bahawa AI tidak boleh mengambil alih tanggungjawab editorial dan kawalan kualiti oleh manusia.

“Setiap bahan yang melibatkan simbol negara atau sensitiviti rakyat mesti melalui semakan dengan teliti, dengan semangat hormat dan tanggungjawab bersama.

“AI ialah alat yang hebat tetapi jika ia digunakan secara cuai ia boleh mengundang implikasi terhadap keharmonian dan perpaduan negara,” katanya.

Dalam insiden terbaru melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) berlaku kesilapan pada Jalur Gemilang semasa pembentangan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.

Gambar yang dipaparkan menunjukkan pelajar di dalam bilik darjah, dengan Jalur Gemilang yang mempunyai dua bintang dan bukannya satu yang tergantung di dinding.

Bendera itu juga mempunyai lapan jalur merah dan putih dan bukannya 14.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memohon maaf atas kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti yang diedarkan hari ini.

Katanya kecuaian itu tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara.

“Tindakan tegas dan serta merta telah diambil ke atas semua yang terlibat. Siasatan terperinci juga sedang dilaksanakan.

“Laporan analisis yang dicetak telah diminta untuk dikembalikan semula dan pembetulan segera sedang dilakukan,” katanya.

Dalam kesilapan di paparan muka depan akhbar Sin Chew Daily minggu lalu ia menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

Insiden itu mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Akhbar berkenaan memohon maaf, dan menyatakan bahawa kesilapan tersebut adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Sin Chew Daily juga telah menggantung dua editornya yang berkaitan isu berkenaan.

Pada 19 April lalu, penganjur dan sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura pada pameran produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur memohon maaf kerana video yang dimainkan semasa acara tersebut memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap.

Bendera dalam video itu dilaporkan juga tidak mempunyai bulan sabit.- 14/4/2025 – OLEH HIEKAL ROSLI

Read more

khabar terbaru