Saturday - 26, April 2025

KEMASKINI: Menteri Kesihatan sahkan tiada bayaran pada selebriti buat persembahan di rumah terbuka…

Share

Setelah dua selebriti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah menjelaskan kedudukan sebenar mereka buat persembahan di rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Kesihatan (KKM) pada Selasa,menteri berkenaan Datuk Seri Dr Dzukefly Ahmad sendiri mengesahkan tiada bayaran dibuat pada mereka.

Pada Khamis beliau mengulas dakwaan kononnya KKM bermewah mewah adakan rumah terbuka termasuk mengundang selebriti yang mengenakan bayaran mahal.

Selain Siti Nurhaliza dan Jamal turut serta ialah Mila AF.

Dzukefly berkata kehadiran dan persembahan Siti Nurhaliza, Mila AF dan Jamal Abdillah dibuat secara sukarela bagi meraikan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta keluarga besar KKM.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menambah, Siti Nurhaliza sendiri sudah mengesahkan bahawa dia tidak diberikan sebarang bayaran atas persembahan yang ditampilkan.

Bagi Jamal pula, Dzukefly berkata, hanya sagu hati diberikan kepada penyanyi dan pelakon terbabit.

“Tok Ti (Siti Nurhaliza) hadir sebagai rakan tetamu Yayasan Nurjiwa. Mila AF juga tidak mengenakan caj,” katanya.

Siti Nurhaliza dan Jamal telah mengulas hal berkenaan semalam,Rabu ekoran heboh di media sosial ada kalangan netizan mengkritik KKM kerana didakwa belanja besar untuk majlis itu pada ketika ia dilaporkan kekurangan bajet untuk beberapa urusan kementerian dan kakitangan.

Sementara itu ketika ditemui wartawan selepas Majlis Peluncuran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Pemakanan di KKM, Putrajaya,Dr Dzulkefly berkata beliau tidak pernah meminggirkan kebajikan warga kerja KKM dan sentiasa memperjuangkan hak mereka termasuk isu kenaikan elaun.

“Pastinya kita akan sentiasa menjaga (kebajikan petugas KKM), semua rakan-rakan media juga tahu saya memperjuangkan hal-hal yang terkait dengan apa yang disebutkan sebagai kenaikan elaun (petugas KKM), ETAP (elaun tugas atas panggilan) dan ia telah pun mendapat persetujuan (kerajaan).

“Cuma untuk mengumumkan jumlahnya itu, saya diminta untuk tunggu tentang pengumuman itu dan saya kata biar mereka umumkan. Itu sangat penting, itu perjuangan yang saya telah perjuangkan dan begitu juga hal-hal lain yang lain terkait dengan perkara-perkara yang dibangkitkan,” katanya.

Menteri itu berkata beliau sentiasa prihatin terhadap kebajikan kakitangan KKM.

Menurutnya, usaha menghargai petugas kesihatan sentiasa menjadi keutamaan kementerian itu, termasuk penganjuran majlis sambutan Aidilfitri.

“Saya cukup sedar dan cukup insaf akan usaha-usaha kami untuk memberikan kebajikan dan (sambutan Hari Raya) ini (juga) adalah untuk meraikan warga besar KKM.

“Bukan saja di Putrajaya tetapi mereka yang datang dari tempat lain, dari hospital-hospital dan klinik-klinik KKM semua, termasuklah rakan strategik KKM dan agensi-agensi yang lain. – 24/4/2025

BERITA SEBELUM INI : Isu rumah terbuka Kementerian Kesihatan…Siti Nurhaliza dan Jamal Abdillah tampil bersuara

“Saya menyanyi kerana saya mahu menghargai warga KKM (Kementerian Kesihatan) , atas rela hati dan tanpa bayaran.” Itu antara kata Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Manakala Datuk Jamal Abdillah pula kata “disebabkan saya ini kawan kepada Datuk KSU (Ketua Setiausaha kementerian KKM) , jadi saya tak kira berapa dia nak bagi, saya ambil.

‘Tak mahal pun, beberapa ribu (Ringgit) sahaja.

Dua penyanyi terkemuka tanahair itu tampil beri penjelasan ekoran heboh di media sosial Kementerian Kesihatan dikritik sakan kerana didakwa belanja besar anjur majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri pada Selasa.

Majlis berkenaan yang berlangsung di bangunan KKM di Putrajaya itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain jamuan seperti kebiasaan majlis juga diserikan kumpulan penari tradisional Melayu membuat persembahan di atas pentas.

Sasaran kritikan ialah KKM didakwa bermewah mewah anjur majlis itu dengan menjemput penyanyi terkemuka yang perlu dibayar mahal sedangkan bajet untuk beberapa urusan kementerian dan kakitangan kurang.

Turut menjadi sasaran utama ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Untungnya orang-orang kementerian kan, jamuan level-level kayangan..artis panggil yang mahal-mahal. Kalaulah bajet tu digunakan untuk repair klinik-klinik yang daif lagi bagus,” kata satu komen netizen.

KKM sejak sekian lama dikatakan berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja yang menurut kementerian berpunca daripada kekangan kewangan.

Menurut laporan media, ramai petugas kesihatan termasuk doktor mengalami keletihan melampau akibat waktu kerja yang panjang dan beban kerja yang tinggi.

Dalam reaksinya menerusi instagram,Siti Nurhaliza menjelaskan kehadirannya ke majlis itu adalah sebagai tetamu, bukan artis yang diundang secara rasmi untuk menjayakan persembahan.

“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya di majlis (rumah terbuka KKM) semalam.

“Seperti mana penjelasan saya, saya tidak minta apa-apa bayaran, saya datang sebagai tetamu dan saya menyanyi dengan rela hati.

” Saya rasa penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama dan gambar saya dengan sesuatu yang tidak sahih beritanya,” katanya.

Jamal memberitahu beliau tidak menetapkan bayaran tetapi bersetuju membuat persembahan dengan sedikit sagu hati sebagai tanda penghargaan.

“Jadi besar hati saya dapat menghiburkan PMX dan dapat hiburkan warga-warga KKM,” katanya.

Dalam pada itu setakat ini belum diketahui jumlah sebenar KKM belanja untuk anjur majlis berkenaan.- 23/4/2025

Read more

khabar terbaru