Projek Warisan KL, Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI yang akan dilancarkan Jumaat, merupakan inisiatif penting untuk membugar semula nadi ibu kota Kuala Lumpur, bukan sekadar aspek fizikal, tetapi juga melalui pemuliharaan budaya, sejarah dan pengukuhan nilai komuniti.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata projek itu yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar kreatif dan berkebudayaan.
“Perdana Menteri melihat Warisan KL sebagai lambang pemulihan jiwa kota, sejajar aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berasaskan nilai dan peradaban,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Tunku Nashrul berkata sejak awal pentadbiran, Perdana Menteri sering menegaskan bahawa pembangunan tidak harus diukur semata-mata dengan pencakar langit atau projek-projek mega, tetapi dengan apa yang dapat menyentuh kehidupan rakyat, membina kota yang hidup, inklusif dan bermakna.
“Warisan KL ialah manifestasi nyata prinsip itu, membina masa depan tanpa meminggirkan akar dan nilai. Lebih penting diutamakan usaha mengukuhkan nilai, budaya dan warisan negara, agar dapat dimanfaatkan rakyat jelata serta untuk dinikmati pelancong,” katanya.
Beliau berkata usaha kerajaan dalam memulihara dan memelihara tapak warisan sejarah ini tidak hanya menekankan aspek sejarah, tetapi juga bagi membangkitkan rasa cinta dan kasih kepada warisan sejarah, harus dilihat sebagai pelaburan yang akan membawa limpahan hasil kepada rakyat dan negara.
“Kerajaan tidak akan sesekali membiarkan atau mengambil sikap sambil lewa terhadap mercu tanda sejarah yang mempunyai maksud signifikan kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata projek ini turut menghimpunkan pelbagai rakan strategik termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Think City, Khazanah, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta pemain seni dan budaya dengan komitmen menjadikan Kuala Lumpur, kota milik semua dan cerminan jati diri bangsa.-25/4/2025