Esok ,Sabtu 26 April Menara Kuala Lumpur (KL) yang ditutup buat sementara waktu sejak 17 April lalu akan beroperasi semula untuk kunjungan umum mulai jam 9 pagi.
Hal ini dimaklum oleh Kementerian Komunikasi dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya pembukaan semula Menara KL itu selari dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menjamin kesejahteraan pekerja yang terlibat.
Pada masa sama, katanya, ia juga bertujuan menyediakan perkhidmatan serta persekitaran yang kondusif dan selamat buat pengunjung.
“Menerusi pengurusan baharu premis Menara KL yang diterajui syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), kerajaan komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang efisien dan berorientasikan pelanggan.
“Ia menerusi penambahbaikan berterusan kepada aspek keselamatan dan keselesaan yang boleh menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, bermula 1 April lalu, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL diambil alih syarikat LSHSM.
Menurut kenyataan itu, pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) di atas tapak Menara KL selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB menerusi surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata, pembukaan semula Menara KL kepada orang ramai akan dilaksana sebaik kerja penyelenggaraan dan isu keselamatan ditangani sepenuhnya oleh konsesi baharu.
Menurut Fahmi, hasil pemantauan petugas kementerian di Menara KL mendapati ada perkakas di dapur dan beberapa ruangan di lokasi berkenaan tidak berada dalam keadaan selesa untuk pengunjung.
Mengenai nasib pekerja, Fahmi menjelaskan seramai 193 daripada 205 pekerja dari syarikat lama sudah diserap masuk ke dalam syarikat baharu.- 25/4/2025