Sudah menjadi kebiasaan jumlah pengundi yang keluar mengundi pada pilihanraya kecil (PRK) adalah jauh kurang dari waktu pilihanraya umum atau negeri.
Kesan faktor ini jelas dapat dilihat pada PRK kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning di Tapah yang berlangsung pada Sabtu.
Pada pilihanraya negeri tahun 2022 peratusan yang keluar mengundi ialah 74.85% manakala pada PRK kali ini jumlahnya 58% dari keseluruhan 31,897 pengundi berdaftar.
Gabungan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) menang PRK ini dengan jumlah undi 11,065.
Majoriti calon BN berbanding dua calon saingan iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) ialah 5,006 undi.
Sebaliknya semasa pilihanraya negeri 2022 BN menerusi Allahyarham Ishsam Shahruddin dapat 9,088 undi dan calon PH Mohd Nazri Hashim 6,875.
Waktu itu BN-PH bertanding secara berasingan.
Kini BN-PH sudah satu kapal…jika dicampur undi keduanya jumlah waktu itu ialah 15,963.
Terbaru…pada PRK ini ikut perkiraan diatas kertas…tanpa faktor peratusan keluar mengundi merosot…jumlah sokongan pada BN-PH kurang sebanyak 4,898 undi.
Calon PN,Muhammad Noor Farid Zainal pula dapat 6,812 undi pada plihanraya 2022.
Pada PRK ini calon PN ,Abdul Muhaimin Malek alami kemerosotan 753 undi apabila cuma berjaya dapat 6,059 undi.
Undi calon PSM K.S. Bawani pula naik seganda pada PRK ini.Beliau dapat 1,106 berbanding 586 pada pilihanraya 2022.
Seperti semua sedia maklum Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN negeri Datuk Saarani Mohamad telah menetapkan sasaran gabungan BN-PH mendapat 18,000 undi pada PRK ini.
Beliau membuat perkiraan ini atas dasar campur undi BN dan PH seperti yang diperolehi masa pilihanraya 2022.
Ada yang kata beliau mungkin acah begitu untuk membakar semangat jentera kempen berkerja keras tawan hati pengundi.
Apapun sebagai bahan renungan…nampaknya apa yang beliau harapkan jauh tersasar.
Namun untuk berlaku adil dengan mengambil kira faktor peratusan undi yang jauh kurang…ramai pemerhati politik menilai pencapaian ketiga tiga calon yang bertanding ‘tak lari jauh’ berbanding pilihanraya 2022.
Bagi BN khususnya kemenangan ini adalah sangat manis kerana berjaya pertahankan kerusi itu terus menerus sejak kerusi DUN Ayer Kuning dibentuk pada tahun 1986.
Dalam pada itu mereka berpendapat sekalipun ada isu kecil berbangkit dari masa ke semasa jentera BN dan PH semakin serasi dapat berganding dalam gerak kerja kempen.
Siapa tahu kerjasama yang terjalin ini dapat membantu UMNO/BN menebus balik rasa kecewanya sejak pilihanraya negeri 2022 lalu.
Bayangkan UMNO/BN terpaksa bergayut pada 9 kerusi DUN sahaja dari 59 DUN yang ada di Perak.
PH ada 24 kerusi DUN manakala musuh utama mereka PN ada 26 kerusi.
Ia bermakna gabungan BN-PH ada 30 kerusi DUN yakni beza cuma 4 kerusi dengan PN di Perak.
Perasaan ‘tak sedap badan’ tentu terus menghantui pimpinan UMNO/BN negeri itu sehingga dapat berentap balik pada pilihanraya akan datang.- 26/4/2025 – OLEH HIEKAL ROSLI