Sidang khas Parlimen pada 5 Mei ini akan menerangkan langkah-langkah yang diambil kerajaan berhubung isu kenaikan tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat ke atas Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia juga membolehkan semua Ahli Parlimen membincangkan kesan tindakan AS terhadap ekonomi negara dan langkah untuk mengatasinya.
“Inilah masa untuk semua parti dan semua rakyat fokus ke arah pertumbuhan negara. Angkat martabat negara ini.
“Malaysia ini negara hebat, mampu jadi negara contoh di antara negara terbaik di Asia dengan syarat kita bersatu dan bekerja kuat dengan mengangkat martabat ekonomi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis dekat Kangar Ahad.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Perdana Menteri berkata Malaysia juga tidak bersetuju dengan kenaikan tarif itu.
“Sebagai negara dagang, tidak ada negara waima Amerika Syarikat yang harus menetapkan kadar (tarif) sewenang-wenangnya mengikut penilaian unilateral mereka. Kita terikat dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ini yang disebut multilateral.
“Kita gabung dengan banyak negara tetapi kita terpaksa terima kenyataan dan tangani dengan bijaksana,” kata beliau.
Pada 2 April lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan negara itu akan mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti import lebih tinggi membabitkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.
Bagaimanapun, AS memberi penangguhan selama 90 hari kepada 75 negara termasuk Malaysia. – BERNAMA 27/4/2025