Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara (AG) untuk merayu berkaitan kewujudan dokumen tambahan dalam kes membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Hasnah Mohammed Hashim, dalam keputusan sebulat suara berkata persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh AG memenuhi syarat ambang untuk kebenaran diberikan mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Mahkamah Persekutuan kemudian menetapkan dua hari bermula 1 Julai ini untuk mendengar rayuan AG berhubung dokumen tambahan Najib.
Hasnah bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Zabariah Mohd Yusof, dan Hanipah Farikullah.
AG selaku pemohon telah memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Pemohon perlu mendapatkan kebenaran tersebut bagi meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Pada 6 Jan lalu Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib ke mahkamah tinggi untuk didengar berdasarkan merit kes.
Najib mendakwa wujud dokumen tambahan yang dikatakan membenarkan dia menjalani baki hukuman penjara enam tahun melalui tahanan rumah.
Keputusan berkenaan membatalkan keputusan terdahulu mahkamah tinggi yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berkaitan dokumen tambahan tersebut.
- Bernama – 28/4/2025