Tuesday - 29, April 2025

Lagi perbuatan sebar maklumat palsu kaitkan Institusi Diraja…SKMM sedang siasat pempengaruh media sosial

Share

Sekalipun sudah berkali kali diberi peringatan oleh pihak berkuasa khususnya Menteri Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar elak perbuatan sebar maklumat palsu dan fitnah di media sosial nampaknya masih ada yang ‘buat pekak’.

Terbaru….seorang pempengaruh media sosial sedang disiasat berkaitan penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan institusi diraja.

Selain itu, terdapat juga percubaan untuk mendedahkan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu mana-mana pihak.

SKMM menerusi satu kenyataan pada Isnin memberitahu tindakan pempengaruh tersebut berpotensi mencetuskan kegusaran awam, menyebarkan fitnah, mengundang ancaman terhadap keselamatan individu yang terlibat, serta melanggar perundangan komunikasi dan perlindungan data peribadi.

Menurutnya dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut terhadap individu terbabit telah dilaksanakan di Ibu Pejabat SKMM, Cyberjaya pada Jumaat dan hari ini, susulan aduan orang awam yang diterima pihak suruhanjaya mengikut peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

SKMM menegaskan komitmennya untuk menyiasat semua aduan berdasarkan undang-undang tanpa mengira status, populariti, atau pengaruh individu yang terlibat.

“Setiap siasatan dijalankan secara profesional, berlandaskan prosedur yang adil serta mengikut peruntukan undang-undang di bawah AKM 1998 dan merupakan langkah awal untuk mengumpul maklumat berkaitan,” katanya.

Serentak dengan itu SKMM pada masa sama ingatkan orangramai bahawa sebarang penyebaran kandungan menyentuh isu 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja) bersifat mengancam, mengganggu atau menceroboh privasi individu adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan sedia ada.-28/4/2025

Read more

khabar terbaru