Tuesday - 29, April 2025

Imej Malaysia meningkat sebagai jurubicara umat Islam yang memperjuangkan keadilan

Share

Penyertaan Malaysia dalam Sesi Pendengaran Awam prosiding Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Palestin di The Hague, Belanda pada Isnin berupaya menambah tekanan antarabangsa ke atas Israel.

Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Mohd Hamid, antara lain, langkah itu juga berupaya meningkatkan imej Malaysia di persada dunia sebagai jurubicara khususnya kepada umat Islam dan negara-negara Global Selatan (Selatan Global) yang memperjuangkan keadilan.

“Kehadiran Malaysia juga menguatkan solidariti dunia Islam dan negara berkecuali.

“Malaysia berpotensi menjadi pemangkin untuk gerakan lebih teratur kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), The Non-Aligned Movement (NAM) dan juga dalam blok Global South (Selatan Global) untuk menuntut tindakan konkrit ke atas Israel, “katanya.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, prosiding disertai Malaysia itu adalah mengenai Kewajipan Israel berhubung dengan Kehadiran dan Aktiviti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Antarabangsa lain, serta Negara Ketiga dalam dan berhubung dengan Wilayah Palestin yang Diduduki.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengetuai delegasi Malaysia, diiringi oleh Pegawai-Pegawai Kanan dari Kementerian Luar Negeri, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Kedutaan Besar Malaysia di The Hague.

Azalina dijadual menyampaikan Kenyataan Negara pada 11.00 malam 28 April 2025 waktu Malaysia.

Ini menandakan penyertaan ketiga Malaysia dalam prosiding Pendapat Penasihat ICJ berkaitan Palestin, berikutan penglibatan sebelumnya pada 2004 dan 2024.-29/4/2025

Read more

khabar terbaru