Kalau ada yang menjangka hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat diketahui dalam masa terdekat bolehlah buat tafsiran sendiri dari kenyataan terbaru Tan Sri Azam Baki.
Nampak gaya macam panjang lagi proses yang kelak akan membolehkan SPRM buat penentuan bagi langkah selanjutnya.
Senang cakap cuba teka berapa lama lagi siasatan akan dijalankan.
Sejak awal Mac lalu bekas Perdana Menteri itu sudah tujuh kali dipanggil beri keterangan kepada SPRM dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Kali terakhir ialah pada Khamis lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM itu beritahu pada Selasa sesi mengambil keterangan daripada Ismail Sabri, dijangka disambung oleh pegawai penyiasat SPRM kira-kira dua minggu lagi.
Bercakap kepada para wartawan selepas satu majlis di Putrajaya,Azam Baki menjelaskan siasatan kes keatas Ismail Sabri setakat ini dianggarkan baru sekitar 15 hingga 20 peratus.
“Kita akan memanggilnya dalam tempoh lebih kurang dua minggu lagi kerana ada beberapa dokumen kita minta beliau sediakan dan kes ini masih lagi berjalan.
“Kalau ditanya (status) siasatan, ia lebih kurang sekitar 15 ke 20 peratus. Pertama, untuk mengisytiharkan harta itu satu hal, yang kedua dan penting bagi kami memastikan apakah yang diisytiharkan itu benar atau tidak.
“Menjadi satu kesalahan sekiranya pengisytiharan itu sesuatu yang tidak benar atau tidak mencukupi,” katanya.
Ahli Parlimen Bera,Pahang disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 3 Mac lalu, Azam Baki memaklumkan, Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram (kg) jongkong emas di dalam sebuah “safe house”, hasil serbuan SPRM.
Sementara itu sekalipun berdepan dengan siasatan kes besar ,zahirnya bekas Perdana Menteri itu setakat ini dikhalayak umum kelihatan tenang jalani kehidupan seperti kebiasaan di masa lampau.
Beliau antara lain terus hadiri pelbagai acara baik di ibukota maupun di kawasan pilihanrayanya di Bera.
Ini termasuk ke majlis majlis rumah terbuka Aidilfitri kenalan dan orang politik.
Ismail Sabri yang sejak dulu lagi dikenali sebagai orang yang ramah dan senang didekati juga masih kekal dengan stailnya.
Berikut adalah kronologi kes:
11 Disember 2024: SPRM mengarahkan Ismail Sabri untuk mengisytiharkan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
10 Februari 2025: Ismail Sabri secara rasmi mengemukakan pengisytiharan harta kepada SPRM.
19 Februari 2025: Beliau hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberikan keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
21 Februari 2025: Empat pegawai kanan yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Ismail Sabri ditahan oleh SPRM berkaitan siasatan rasuah melibatkan kontrak promosi konsep “Keluarga Malaysia”.
10 Februari 2025: SPRM menjalankan penggeledahan di sebuah kondominium dan tiga lokasi lain, menemui wang tunai bernilai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai RM7 juta.
3 Mac 2025: Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa Ismail Sabri adalah suspek dalam kes ini dan akan dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut pada 5 Mac 2025 (Rabu), bergantung kepada tahap kesihatan beliau. Beliau juga menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara profesional dan bebas, tanpa arahan daripada mana-mana pihak atau motif politik.
Siasatan ini tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui negara, dengan nilai projek dianggarkan sekitar RM700 juta.
Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta. Akaun milik Ismail Sabri belum dibekukan, dan siasatan terhadap akaun tersebut sedang dijalankan.
SPRM menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
- 29/4/2025