Pemilik rumah-rumah yang berdepan mimpi ngeri alami pelbagai kerosakan akibat insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 Mac lalu mendapat khabar gembira pada Rabu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kata proses baik pulih akan bermula seawal minggu ini bagi mempercepatkan fasa pemulihan kepada penduduk yang berkenaan.
Beliau umum Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM40 juta bagi proses baik pulih itu.
Amirudin umum demikian ketika berucap pada penyerahan bantuan sewa rumah kepada mangsa insiden itu.
Beliau berkata, proses baik pulih berkenaan membabitkan tiga kategori iaitu pertama membabitkan kerosakan kecil yang dianggarkan bawah RM30,000.
“Bagi kerosakan bawah RM30,000, penduduk boleh membaiki sendiri dan membuat tuntutan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Prosedurnya adalah melalui Persatuan Penduduk dan Ketua Kampung yang akan bertugas mengambil tuntutan daripada penduduk dan dihantar secara mingguan kepada PBT iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya,” katanya.
Menurut Menteri Besar itu kerosakan lain pula akan dibaik pulih menerusi dua kaedah yang telah ditetapkan.
Katanya, bagi kawasan Putra Heights, proses baik pulih akan dilakukan Sime Darby yang juga pemaju kawasan berkenaan dengan dibiayai bantuan kerajaan Persekutuan.
“Bagi Kampung Sungai Baharu, kita akan baiki melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana melibatkan kawasan kampung.
“Proses baik pulih ini akan menyiapkan kemudahan asas. Makna sebuah rumah akan akan kelengkapan pendawaian dan boleh didiami kembali,” katanya.- 30/5/2025