Friday - 2, May 2025

Pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 dijangka dibentang di Parlimen Oktober ini – Fahmi

Share

Ini adalah khabar terbaru pasal langkah meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memudahkan dan membantu pelaksanaan sebarang perhimpunan aman di negara ini yang diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap kerajaan Datuk Fahmi Fadzil kata pindaan akta berkenaan dijangka dapat dibentangkan selewat-lewatnya dalam sesi sidang Dewan Rakyat pada bulan Oktober ini.

Beliau kata dalam sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu, “kita jangka pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 ini akan dapat dibawa ke Parlimen sama ada dalam sidang terdekat atau pun setidak-tidaknya bulan Oktober depan, Insya-Allah.”

Menurut Fahmi, pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 itu dijangka dapat memperkukuh lagi hak rakyat untuk berhimpun.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa sebanyak 99 peratus daripada jumlah permohonan perhimpunan aman di Malaysia telah diluluskan antara tahun 2022 hingga 2024.

“Ini satu angka yang apabila kita teliti statistiknya adalah memberangsangkan.

“Namun, kita percaya dengan pindaan yang akan dibawa ke Parlimen nanti akan membolehkan hak rakyat untuk berhimpun dengan aman diperkukuh,”katanya.

Februari lalu, Perdana Menteri berkata pindaan itu antara lain akan mengeluarkan Seksyen 11 akta berkenaan, yang melibatkan keperluan persetujuan pemunya atau pemilik lokasi perhimpunan.

Bagaimanapun Anwar berkata penganjur perlu memaklumkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh lima hari sebelum perhimpunan diadakan bagi membolehkan pihak berkuasa menjaga keselamatan, kawalan dan lalu lintas.- 30/5/2025

Read more

khabar terbaru