Kalau masih tak percaya…ini penjelasan orang yang jaga keseluruhan urusan pemilihan PKR kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Dr Zaliha Mustafa sendiri menegaskan penangguhan proses pemilihan pimpinan PKR pusat tidak ada kaitan dengan cuti diambil oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau ditanya wartawan sewaktu satu majlis di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Ini ekoran spekulasi bertiup kencang mendakwa kononnya ia ada kaitan dengan percutian Timbalan Presiden PKR itu.
Ikut cakap-cakap yang disebar kononnya Rafizi merajuk dan hendak letak jawatan kerana ada sebilangan penyokong kuatnya tewas dalam pemilihan ketua cabang PKR baru baru ini.
“Sudah tentu ia tiada kaitan dengan cuti Menteri (Ekonomi),”kata Zaliha.
Semalam, Dr Zaliha mengumumkan proses pencalonan pemilihan PKR 2025 peringkat pusat yang sepatutnya berlangsung hari ini dan esok, ditangguhkan kepada 8 dan 9 Mei.
Menurut Zaliha keputusan penangguhan itu dibuat jawatankuasa pusat dan ia diterima baik semua ahli.
Beliau turut memetik ulasan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu cuti Rafizi semalam.
“Seperti yang disebut Perdana Menteri, mengambil cuti adalah perkara biasa bagi sesiapa pun,” katanya.
Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menjelaskan bahawa penangguhan itu berpunca daripada keperluan persediaan selaras dengan pindaan terbaru perlembagaan parti.
“Dengan pindaan perlembagaan yang baru, terdapat banyak keperluan yang perlu kami sediakan.
“Contohnya senarai perwakilan dan sebagainya, kerana kini ia mengikut peratusan undi yang dimenangi oleh setiap calon ketua cabang.
“Itulah sebabnya kami perlukan lebih masa untuk membuat persediaan,” katanya.
Beliau turut mengesahkan yang PKR telah melantik juruaudit antarabangsa bagi meneliti keputusan pemilihan peringkat cabang,
Katanya laporan juruaudit dijangka diperoleh minggu depan.
Para perwakilan akan mengundi barisan kepimpinan pusat semasa Kongres Nasional PKR yang dijadual bermula pada 23 Mei ini.- 3/5/2025