Sunday - 4, May 2025

Kehangatan isu Petronas-Petros : Anwar dan Abang Johari capai komitmen bersama untuk selesaikan…

Share

Kalangan yang tahu kisah dalaman industri minyak dan gas cakap mereka sudah mencium ‘suhu yang agak panas’ pada Jumaat lalu bila muncul berita Petronas mengesahkan anak syarikatnya, PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), menerima notis dari kerajaan negeri Sarawak berkaitan pemprosesan dan pengedaran gas.

Notis pada 30 April 2025 daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak itu beri gambaran PCSB beroperasi secara haram di Sarawak dan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016.

Petronas Carigali diberi tempoh 21 hari untuk mendapatkan lesen yang diperlukan yang mana jika gagal yang boleh membawa kepada penalti kewangan di bawah Seksyen 21A ordinan itu.

Isnin lalu, Petronas gagal mendapatkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuching untuk menghentikan saman yang difailkan Petros untuk menghalang mahkamah daripada mendengar saman berkenaan pembayaran gas.

Sebaliknya Petronas pula nampak seolah berkeras dalam pendirian mengenai isu itu.

Petronas dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata bahawa PCSB diberi kuasa mengikut undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 untuk menjalankan aktiviti syarikat dan mematuhi semua undang-undang yang terpakai dalam berbuat demikian.

“Meskipun kita menghormati aspirasi negeri Sarawak, Petronas juga mempunyai kewajipan untuk menegakkan PDA 1974 ini dan menjaga kepentingan negara,”katanya.

Dari pandangan mata kasar orang awam situasi sekarang ialah Petronas, syarikat minyak negara dan syarikat minyak negeri Sarawak, Petros sedang bertegang urat sakan.

Bila timbul isu besar melibatkan badan milik kerajaan pusat dan kerajaan negeri sudah tentu semua orang akan mengintai langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Abang Johari Openg.

Menerusi satu kenyataan ringkas di laman facebooknya pagi Ahad , Anwar memberitahu beliau yakin bahawa isu ini dapat dirungkai “dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah.”

Katanya beliau telah bercakap mengenai mengenai hal PETRONAS-Petros dengan Premier Sarawak yang kini dalam lawatan rasmi ke London, United Kingdom.

“Sekembalinya Premier dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom kelak, kami akan segera mengadakan perbincangan lanjut untuk memuktamadkannya.

Dalam pada itu Anwar meminta semua pihak bertenang.

Katanya ,”sementara itu, atas dasar kepentingan bersama, semua pihak harus menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan.”

Di pihak Abang Johari pula…Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pula memetik beliau sebagai memberitahu penyelesaian berhubung isu tersebut adalah berteraskan pendekatan menang-menang bagi kedua-dua pihak.

Menurutnya penyelesaian itu akan diasaskan kepada keikhlasan bahawa hasil minyak dan gas negara perlu dikongsi secara adil.

“Dalam isu minyak dan gas ini, (memang) adalah kita bermain ‘bola’ sikit-sikit dengan PETRONAS dan ketika ini, saya pasti anda sudah mengikuti perkembangan semasa berkaitan isu ini.

“Namun, kita akan menyelesaikan perkara ini, malah Perdana Menteri sudah menghubungi saya pagi tadi (Sabtu waktu London) dan kami mencapai komitmen bersama untuk menyelesaikannya,” katanya.- 4/5/2025

Read more

khabar terbaru