Sebagai seorang yang berjawatan Timbalan Presiden PKR ,Datuk Seri Rafizi Ramli tentunya cukup mahir dan faham ‘bahasa politik’.
Dalam sepak terajang dan kuntau bidang ini selalunya orang politik baca pergerakan dan menilai sesuatu isu menerusi pelbagai sudut sampingan termasuk apa yang tersurat dan tersirat.
Atas sebab itu melihat pada perkembangan semasa menjelang pemilihan pimpinan pusat PKR kebanyakan pemerhati politik sangat meragui Menteri Ekonomi itu dapat pertahan jawatan nombor dua parti itu.
Malah ada yang sudah berani bertaruh beliau ‘sudah tewas’ sebelum bertanding.
Siapa yang boleh tolak andaian populariti Rafizi kebelakangan ini sudah merudum sakan.
Ini cukup berbeza dulunya khususnya masa PKR di kem pembankang.
Beliau sentiasa menjadi tokoh yang mencuri perhatian dengan pelbagai formulanya dan komentar politiknya.
Lain dulu lain sekarang…bibit-bibit kejatuhannya mula dirasai apabila sebilangan ‘orang Rafizi’ termasuk berjawatan Menteri dan timbalan Menteri tewas dalam pemilihan ketua cabang PKR baru ini.
Di luar dugaan satu kejutan berlaku semalam,Selasa.
Ini setelah Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mencelah masuk dalam kehangatan pelbagai spekulasi yang menyelubungi isu jawatan Timbalan Presiden PKR.
Beliau telah istihar cabang PKR Hang Tuah Jaya yang diketuainya dan empat cabang lain di Melaka yakni Alor Gajah, Tangga Batu, Jasin dan Kota Melaka sokong Nurul Izzah Anwar masuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
Situasinya semacam Shamsul sudah ‘buka pintu pagar’.
Sejurus itu media melaporkan bertali arus Nurul Izzah yang kini Naib Presiden PKR terima sokongan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Dari Melaka ia menjalar cabang PKR di Selangor,Pahang,Perak dan cabang PKR sana sini.
Seterusnya sokongan diterima juga dari pergerakan Wanita dan Pemuda PKR pusat.
Nampakya seolah tiada siapa yang mampu sekat lagi kemaraan Nurul Izzah – jika – beliau kelak memutuskan untuk masuk bertanding lawan Rafizi.
Soalan terbesar yang berlegar sekarang dalam situasi ini apakah Nurul Izzah nak langgar Rafizi?
Di pihak Rafizi pula apakah beliau hendak mempertahankan jawatan yang dimenanginya pada pemilihan tahun 2022 dengan menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution?
Melihat pada sokongan demi sokongan yang diterima Nurul Izzah sekarang ada pemerhati politik menilai secara tersirat Rafizi sudah hilang kelayakan untuk terus jadi orang nombor dua PKR.
Senang cakap kata seorang pemerhati dari segi moralnya beliau ‘sudah tewas’ sebelum bertanding.
Apapun dalam bidang yang terkenal dengan istilah nothing is impossible tentu ramai yang sekarang sedang mengintai ‘Langkah Rafizi’.- 7/5/2025 OLEH HIEKAL ROSLI