Tu dia… bukan main-main rupanya pencerobohan hutan di Raub Pahang yang melibatkan keluasan kira-kira 10,521 hektar tanah sehingga Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri menzahirkan rasa terkejut.
Baginda nyata hairan dengan keluasan kawasan yang diceroboh itu, yang diibaratkan bersamaan dengan kira-kira 14,700 padang bola sepak.
“Selepas mendengar taklimat daripada pasukan elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) tadi, saya begitu terkejut dengan angka yang diberitahu iaitu 26,000 ekar (10,521 hektar) di daerah Raub saja. Ia satu angka yang besar.
“Namun, tindakan seterusnya perlu dilakukan dan saya berharap semua pihak harus bekerjasama kerana kita tidak boleh membiarkan amalan aktiviti haram ini diteruskan.
“Kita perlu menoktahkan dan menyelesaikannya secara terbaik. Dan jika perkara ini dibiarkan, seolah-olah kita tiada pihak berkuasa daripada Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah, mahupun Pejabat Menteri Besar,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada media selepas menghadiri taklimat mengenai operasi penguatkuasaan Op Sekat 3.0 di Batu 3, Jalan Sungai Ruan–Sungai Klau, Khamis.
Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan mencemar duli ke kebun durian Musang King yang menimbulkan kontroversi akibat pencerobohan tanah di Raub itu.
Turut mengiringi keberangkatan Seri Paduka, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dan Ketua UPNP Saifullah Muhammad Ali.
Sultan Pahang bertitah mahu kerajaan Pahang bertindak tegas dalam isu berkenaan serta mencari penyelesaian segera demi masa depan yang lebih baik.
“Ada pihak yang mungkin tidak senang dengan tindakan penguatkuasaan ini, tetapi saya ingin tegaskan bahawa ramai yang marah dengan perbuatan mereka (penceroboh),” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah mengakui usaha untuk menoktahkan sepenuhnya kegiatan pencerobohan tanah yang berlarutan sejak sekian lama itu bukan tugas mudah, namun langkah berperingkat perlu dilaksanakan.

“Memang sukar untuk diselesaikan secara menyeluruh dalam satu masa, tetapi kita boleh usahakan dan tingkatkan usaha sedikit demi sedikit untuk menghapuskan pencerobohan ini. Kalau tiada usaha, kegiatan ini akan terus berlaku dan itu tidak boleh dibiarkan.
“Saya ingin ingatkan kepada penceroboh, kita ada undang-undang di negara ini, termasuk di Pahang. Siapa yang mahu mohon tanah kerajaan, mesti ikut saluran dan prosedur yang betul,” titah baginda.
Mengulas tindakan sesetengah pihak yang masih berani menceroboh tanah kerajaan, baginda menggesa rakyat supaya patuh kepada undang-undang dan tidak cuba mengambil jalan pintas.
“Tindakan menceroboh tanah kerajaan ini tidak adil kepada kerajaan dan rakyat lain kerana mereka (penceroboh) tidak bayar cukai tanah, tidak isytihar cukai pendapatan dan menafikan peluang orang lain untuk miliki tanah di daerah ini.
“Kita mahu bergerak ke hadapan dengan sistem yang lebih teratur dalam pentadbiran dan pengurusan hal ehwal tanah,” titah baginda.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada UPNP atas komitmen dan dedikasi dalam membanteras kegiatan pencerobohan tanah di seluruh negeri.
“Selain pencerobohan tanah, kita juga perlu beri tumpuan kepada aktiviti perlombongan haram. Saya harap pihak di peringkat daerah peka dengan kegiatan di kawasan masing-masing dan segera maklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan… jangan jadi boneka kepada mereka yang buat kerja haram… itu satu pengkhianatan.
“Saya akan turun padang dari semasa ke semasa seperti hari ini untuk lihat sendiri keadaan, terutama membabitkan kegiatan haram,” titah baginda.
Bulan lalu, kerajaan Pahang melancarkan Op Sekat 3.0, iaitu operasi khas bagi memerangi kegiatan pencerobohan tanah haram di Raub.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang bulan lalu, Al-Sultan Abdullah turut menyifatkan pencerobohan tanah haram sebagai ‘musuh utama’ di negeri ini – melebihi masalah dadah dan jenayah.-8/5/2025