Dalam langkah terbaru untuk menurunkan beban kewangan rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan strategi baharu melalui kerjasama ASEAN bagi menekan lonjakan harga ubat dan rawatan perubatan di Malaysia dan rantau ASEAN.
Dalam ucapan rasminya pada majlis perasmian CRM Trial Connect Conference 2025 , Anwar mendesak institusi penyelidikan tempatan seperti Clinical Research Malaysia (CRM) untuk meningkatkan kerjasama antara negara ASEAN untuk mencipta ubat yang lebih murah dan bersesuaian dengan iklim tropika serantau .
“Cabaran kita antara lain ialah memastikan kos perubatan tidak melambung kerana industri ini kini semakin menjadi-jadi. Syarikat besar sedang meraih keuntungan luar biasa tanpa peduli kesan kepada pengguna,” tegas beliau.
Anwar turut menegaskan agar penyelidikan perubatan di Malaysia tidak lagi hanya mencontohi kaedah Barat, tetapi memberi fokus kepada penyakit yang sebenarnya dihadapi majoriti rakyat Malaysia seperti malaria, cacing kerawit, batuk kering dan pelbagai penyakit endemik rantau tropika.
Beliau mengambil kisah lampau Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) era 70-an sebagai teladan, apabila Prof Ungku Omar menyuarakan keperluan untuk menumpukan kajian pada masalah kesihatan tempatan – bukan penyakit bandar di Eropah atau Amerika.
Sebagai permulaan, kerajaan mahu CRM bekerjasama rapat dengan universiti tempatan, terutamanya fakulti perubatan, serta institusi penyelidikan utama dari Phnom Penh, Vientiane, Jakarta, Bangkok, Manila dan sekitarnya.

“Kita ingin wujudkan ekosistem penyelidikan klinikal yang boleh menjayakan inovasi ubat dan rawatan yang lebih murah, lebih sesuai dan lebih mudah diakses oleh rakyat,” kata Anwar.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengingatkan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya tidak hanya pandai baca simptom pesakit , tetapi juga perlu fahami isu dasar ekonomi makro.
“Saya selalu pesan kepada Dr Dzulkefly (Menteri Kesihatan), sila pastikan pegawai-pegawai anda faham konsep kewangan negara. Jangan hanya minta dana tanpa melihat kesan keseluruhan kepada sistem pendidikan, infrastruktur dan pembangunan desa.”
Menurutnya, meningkatkan pembiayaan dalam kesihatan juga bermakna meningkatkan cukai , yang akhirnya menjadi beban rakyat dan juga para doktor sendiri.
Sejak 2012, ekosistem penyelidikan klinikal di Malaysia telah menyumbang lebih RM1.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar dan mencipta 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi . Namun soalannya tetap sama, kenapa harga ubat masih belum mampu milik?
Langkah kolaborasi ASEAN ini diharap menjadi jawapan kepada cabaran tersebut, sekaligus membawa ubat-ubatan baharu dengan kos yang lebih rendah kepada rakyat Malaysia dalam masa terdekat.
Turut hadir pada acara tersebut ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.-8/5/2025 OLEH AHMAD SYAUQI ABDUL RAZAK