Setelah mendapat ‘tsunami sokongan’ yang bertali arus dari kalangan ahli parti PKR seluruh negara …Nurul Izzah secara rasmi umum bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Anak Perdana Menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim buat pengumuman itu menerusi satu kenyataan yang panjang petang Jumaat.
Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli,yakni penyandang Timbalan Presiden sekarang juga telah hantar borang pencalonan untuk pertahan jawatan.
Beliau beritahu demikian menerusi hantaran di platform X miliknya pada petang Jumaat.
“Saya baru sahaja selesai mendaftar sebagai calon Timbalan Presiden Keadilan bagi pemilihan ini,” kata Rafizi.
Seperti dijangka Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution pula tidak sertai pemilihan jawatan itu.
Satu kenyataan media ringkas yang dikeluarkan oleh seorang pegawainya Jumaat malam beritahu keputusan itu diambil hasil perbincangan dengan beberapa pihak termasuklah pimpinan utama PKR.
Ekoran perkembangan ini maka gelanggang jawatan nombor dua merupakan straight fight antara Rafizi dan Nurul Izzah.
Dalam kenyataannya Nurul Izzah turut ulas isu ‘parti anak beranak’.
BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH NURUL IZZAH
ُمھۡوِرﺎَﺷَویِﻓ ِۖۡرﻣَۡﻷٱذَاِﺈَﻓ َۡتﻣََزﻋ ۡلﱠﻛََوﺗَﻓﻰَﻠَﻋ ِۚﱠٱﱠنِإ َﱠٱﱡِبﺣُﯾ َنﯾِﻠﱢﻛََوﺗُﻣۡﻟٱ
“Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawaqallah kepada Allah SWT,sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”.
(Ali-Imran:159)
Ada kalanya, keputusan yang perlu kita ambil bukanlah yang paling mudah atau paling selesa,tetapi ia lahir daripada satu bentuk tanggungjawab.
Saya tetap percaya, perjuangan ini bukan milik mana-mana individu. Ia milik kita semua yang masih setia memikul idealisme Reformasi sejak 1998.
Saya tahu khabar angin yang berlegar sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan dua reaksi berbeza.
Ada sebahagian – yang menyatakan terus kepada saya – menyambutnya dengan penuh pengharapan, ingin melihat regenerasi dan pembaharuan dalam parti.
Ada juga yang menzahirkan kegusaran dan meminta saya mempertimbangkan semula keputusan ini kerana bimbang KEADILAN dilabel sebagai “Parti Anak Beranak”.
Saya hormati kedua-dua pandangan, kerana kedua-duanya datang dari rasa cinta yang mendalam terhadap parti ini.
- PARTI ANAK BERANAK
Beri saya ruang memperjelas tentang persepsi “Parti Anak Beranak” ini. Sebenarnya, label ini bukan lah serangan baharu. Malah, sejak 1998, ketika saya bersama pengasas dan pejuang Reformasi bersama-sama menubuhkan KEADILAN, label ini telah digunakan untuk memperlekeh perjuangan kita.
Ketika saya menang Naib Presiden dengan undian tertinggi pada tahun 2010, 2014 dan 2018, serangan yang sama tetap dilemparkan.
Hanya pada tahun 2022 sahaja, saya tidak bertanding, sebaliknya saya fokus dan mendokong pergerakan Ayuh Malaysia, di mana saya memperkenalkan beberapa dasar untuk diperjuangkan – termasuk TVET serta perubahan iklim bagi memberi kesan yang lebih baik kepada kehidupan seharian.
Hakikatnya, jika saya memilih untuk kekal bertanding Naib Presiden pun kali ini, saya tetap akan digelar begitu.
Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat, Insya-Allah – kerana yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme.
Sebaliknya, itulah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini. Pada 2018, saya meletakkan jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Negara pada dasarnya menentang kegagalan Perdana Menteri, Tun Mahathir ketika itu untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dipantau dengan memastikan pembangkang memegang jawatan ketua PAC.
Ketika PH memenangi PRU ke-14, saya telah ditawarkan untuk dilantik sebagai Menteri. Apa keputusan saya? Saya menolak kerana ianya adalah lantikan Perdana Menteri, di dalam kabinet yang turut dianggotai oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri.
Malahan, sekiranya saya menang jawatan Timbalan Presiden sekalipun, saya tidak berminat dengan jawatan kabinet.
Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi.
- PEMERKASAAN CABANG, AKAR UMBI DAN MISI PEMBINAAN JENTERA
Saya percaya bahawa nadi kekuatan KEADILAN sentiasa terletak pada cabang dan jentera akar umbi.Selama lebih dua dekad, para pimpinan dan anggota di peringkat cabanglah yang telah menjadi tulang belakang parti. Saya amat menghargai pengorbanan ini.
Saya juga menzahirkan penghargaan kepada para anggota dan pimpinan yang melahirkan sokongan serta cadangan sebagai sandaran keputusan yang saya ambil.
Menjelang PRU ke-16, kita perlu melangkah dengan strategi yang lebih tersusun, menyeluruh dan berpaksikan kekuatan bersama.
Sekiranya saya dipilih kelak, misi utama saya adalah saling berusaha dan bekerja bersama anggota, pendukung serta sukarelawan di cabang-cabang – khususnya di 50 kerusi marginal.
Kerana PRU-16 bukan boleh dimenangi menerusi usaha mana-mana individu. Kita tidak mampu bergerak berseorangan. Kita hanya mampu menang dengan menggandingkan kekuatan cabang, entera akar umbi, menjalar kepada rakyat serta masyarakat menerusi kempen, khidmat dan strategi penerangan efektif yang menambat hati dan keperluan semua.
Kita tidak boleh lagi bergerak secara terpisah antara pusat dan akar umbi. Kemenangan mampu dicapai dengan kehadiran yang menyantuni rakyat, dan jentera yang hidup dan berfungsi.
Inilah saatnya untuk kita mengembalikan ideologi asal parti kita, demi menyatukan semula kekuatan KEADILAN dengan roh perjuangan asal – membawa keadilan kepada semua, mengambil kira keperluan sosioekonomi dan peluang yang terbaik tidak mengira bangsa, latar belakang mahupun kepercayaan.
Saya sedar bahawa tidak ada sesiapa yang mampu melakukannya seorang diri. Justeru, saya komited untuk mendengar, memperkasa dan memperkukuh cabang-cabang agar kita dapat bergerak sederap, berpadu tenaga secara aktif, dan bersatu dalam matlamat yang sama.
Dipilih ataupun tidak, kasih dan taat setia saya sentiasa bersama KEADILAN agar kita dekat dan relevan dengan rakyat mendepani segala cabaran yang bakal mendatang. Saya akan terus berusaha demi merapatkan saf besar KEADILAN dan membantu membantu pimpinan yang dipilih untuk merealisasi impian serta misi kita bersama.
- PESANAN KEPADA SEMUA ANGGOTA KEADILAN
Dalam tempoh dua hari ini, saya lihat ada beberapa penyokong KEADILAN yang mengeluarkan kata nista menyerang peribadi, malahan dipanggil dengan pelbagai gelaran dan status erkahwinan saya juga dijadikan ejekan kempen.
Saya secara peribadi berasa terkilan bukan kerana tohmahan itu semata-mata, tetapi kerana ia datang dari dalam keluarga besar KEADILAN sendiri.
Seruan saya kepada semua, jangan sesekali menyerang pimpinan dan sahabat seperjuangan yang lain dengan biadab, apatah lagi menyentuh isu peribadi mereka.
Ini parti yang telah kita bina bersama. Kita boleh bertembung idea dan berbeza pandangan sepanjang pemilihan ini, tetapi kekal lah dengan adab dan hikmah. Berhujahlah dengan fakta, bukan dengan emosi, hinaan, gelaran dan kata-kata kesat.
Biduk lalu, kiambang bertaut.
Buat semua anggota KEADILAN, marilah bersama membina semula kekuatan dalaman parti.
Kita menjadi tali pengikat – semangat, setiakawan dan persaudaraan. Kita disegani kerana enjaga idealisme dan membina jambatan dengan parti-parti komponen agar mudah mewakili rakyat. Marilah bersama membugar semula semangat kekitaan dan keberanian mendepani cabaran menerusi pengukuhan organisasi dan keberadaan KEADILAN di akar umbi.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya, Nurul Izzah Anwar, menawarkan dirisebagai calon Timbalan Presiden KEADILAN 2025-2028.
Sekiranya perwakilan KEADILAN merasakan saya sesuai untuk menggalas tanggungjawab danamanah besar ini, Insya-Allah, saya akan berusaha melakukan yang terbaik demi KEADILAN.
Bersama Membina Parti Kita.
Nurul Izzah Anwar
Calon Timbalan PresidenParti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2025
9 Mei 2025