Nurul Izzah mempunyai kriteria yang lengkap untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR ekoran desakan popular dikalangan ahli parti itu agar beliau masuk gelanggang.
Namun satu dunia tahu ada satu polimek yang sedang berlegar di sana sini.
Apa lagi kalau bukan isu statusnya sebagai ‘binti Anwar’.
Ini isu besar sekalipun zahirnya nampak kecil.
Ia melibatkan soal persepsi. Dalam politik soal persepsi adalah faktor penting.
Siapa boleh lupa PKR cukup sinonim dengan perjuangan menentang kronisme dan nepotisme.
Mahu tidak mahu ia tentu mencetuskan dilema besar bagi sang bapa yang juga Perdana Menteri dan juga Presiden PKR yakni Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata orang cakap salah…tak cakap pun salah.
Entahlah apakah kerana kegusaran tertentu beliau mengelak untuk jawap soalan pasal desakan agarnya bertanding semasa ditanya wartawan selepas makan tengah hari di sebuah restoran di Putrajaya pada Jumaat.
Ini adalah kali pertama beliau berdepan soalan itu ekoran perkembangan terbaru desakan bertali arus dari cabang dan ahli PKR di serata negara mahu Nurul Izzah bertanding jawatan yang kini disandang oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Ketika diasak wartawan, Anwar sebaliknya berseloroh beliau sendiri masih belum mengisi borang pencalonan untuk mempertahankan jawatannya.
“Saya tak daftar lagi (pemilihan).
“(Pertandingan) Presiden (PKR) masih kosong. Presiden masih kosong.
“Nanti saya isi (borang pencalonan),” katanya.
Kalangan yang kenal sangat stail Anwar bila berdepan dengan media cukup tahu beliau jarang mengelak jawab jika tidak ada sebab.
Sehingga muncul ulasan dari Anwar sendiri…macam macam tafsiran boleh dibuat.- 9/7/2025 – OLEH HIEKAL ROSLI