Monday - 12, May 2025

Pakistan – India setuju gencatan senjata selepas tiga hari berperang…

Share

Perang tiga hari antara India dan Pakistan berakhir dengan gencatan senjata pada Sabtu yang dibuat dengan desakan Amerika Syarikat.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendedahkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan “gencatan senjata sepenuhnya serta-merta” hasil usaha perantaraan yang diketuai AS bagi menamatkan ketegangan.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata beliau dan Naib Presiden JD Vance telah berhubung dengan pegawai kanan India dan Pakistan, termasuk Perdana Menteri Narendra Modi dan Shehbaz Sharif, Ketua Tentera Pakistan Jeneral Syed Asim Munir, serta penasihat keselamatan negara Ajit Kumar Doval dan Leftenan Jeneral Muhammad Asim Malik.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Kerajaan India dan Pakistan telah bersetuju untuk menghentikan serangan serta-merta dan memulakan rundingan mengenai pelbagai isu di lokasi berkecuali,” kata Rubio.

“Kami menghargai kebijaksanaan, ketelitian dan kepimpinan Perdana Menteri Modi dan Sharif dalam memilih jalan damai,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dan Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar turut mengesahkan menerusi hantaran di platform X bahawa satu gencatan senjata telah dicapai.

“Pakistan sentiasa berusaha mewujudkan keamanan dan keselamatan serantau tanpa menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayahnya,” kata Dar.

“India dan Pakistan hari ini mencapai persefahaman untuk menghentikan serangan dan tindakan ketenteraan,” kata Jaishankar.

Perkembangan ini berlaku selepas ketegangan dan konfrontasi selama beberapa minggu yang hampir mencetuskan peperangan berskala penuh.

Sebelum ini, rakyat Malaysia yang berada di India dan Pakistan, khususnya pelajar dinasihatkan supaya menghubungi pihak kedutaan di negara berkenaan dan mengemukakan maklumat lengkap bagi memudahkan urusan komunikasi serta bantuan jika diperlukan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mereka perlu berhati-hati dan tidak mengunjungi kawasan berisiko susulan serangan rentas sempadan antra kedua-dua negara yang dilaporkan baru-baru ini.

“Rakyat Malaysia yang berada di sana khususnya pelajar dinasihatkan supaya mengelak daripada berkunjung ke tempat-tempat berbahaya terutamanya di Kashmir, batalkan dulu perjalanan ke sana.

“Setakat ini tiada rakyat Malaysia terjejas (dalam serangan),” katanya.

Sementara itu beliau berkata Malaysia menyeru agar India dan Pakistan segera menghentikan ketegangan dan tidak memburukkan lagi keadaan di sana.

Mohamad berkata Wisma Putra dalam kenyataan baru-baru ini turut memaklumkan kerajaan mengikuti rapat perkembangan terkini mengenai peningkatan ketegangan antara India dan Pakistan, serta menggesa kedua-duanya untuk bertenang.-11/5/2025

Read more

khabar terbaru