Ketika menyambut ulang tahun UMNO ke-79, Datuk Seri Zahid Hamidi mengingatkan parti itu tidak boleh terjebak dalam perlumbaan siapa lebih radikal.
Sebaliknya Presiden UMNO itu menegaskan parti itu perlu kekal sebagai parti pertengahan yang matang, waras serta menyatukan.
“Inilah politik pertimbangan, kestabilan dan harapan yang mesti kita semat dalam kita memimpin negara bangsa.” katanya berucap pada majlis itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad.
Serentak dengan itu Zahid mendakwa sesetengah pihak mengamalkan hipokrasi politik kerana ghairah meniupkan sentimen agama dan perkauman.
Zahid berkata, ada pihak yang menghasut rakyat dengan naratif UMNO kini tunduk kepada DAP, sedangkan mereka sendiri pernah bergandingan dengan DAP dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat hampir sedekad lamanya.
Beliau dipercayai merujuk PAS.
“Mereka jugalah yang membentuk kerajaan bersama DAP demi menjatuhkan kita pada PRU 2018, malah sanggup melanggar prinsip dengan menggunakan logo PKR.
“UMNO tidak pernah membenarkan ahlinya bersolat di hadapan pejabat DAP, tidak pernah menobatkan mana-mana pemimpin DAP setinggi Khalifah Umar Abdul Aziz.
“Lebih ironi, ketika UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC, kita juga pernah dikafirkan. Hari ini, mereka meniru model yang sama, inilah hipokrasi politik,” katanya.
Zahid juga menegaskan kerjasama UMNO bersama parti lain, termasuk DAP, bawah panji kerajaan perpaduan, bukanlah ‘persekongkolan eksklusif’, sebaliknya keputusan kenegaraan.
“Kerajaan perpaduan hari ini dibentuk oleh 18 parti politik meliputi Barisan Nasional, Pakatan Harapan, GPS (Gabungan Parti Sarawak), GRS (Gabungan Rakyat Sabah), Warisan dan lain-lain. Ia kerjasama lintas sempadan demi menjamin kestabilan.- 11/5/2025