Satu tragedi hitam melibatkan pasukan keselamatan negara terjadi pagi Selasa selepas sembilan dilaporkan maut dalam nahas melibatkan sebuah kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertembung dengan lori muatan batu di Jalan Chikus -Sungai Lampam Teluk Intan Perak.
Angka kematian tersebut meningkat daripada laporan awal yuang mengatakan lapan terkorban.
Kesemua mangsa yang maut merupakan anggota FRU dengan sebahagiannya cedera parah akibat tersepit.
Kegagalan fungsi stereng sebuah lori pasir dipercayai menjadi punca nahas.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, maklumat mengenai kejadian itu diterima pada jam 8.51 pagi dan melibatkan sebuah lori pasukan yang membawa 18 anggota dengan sebuah lori muatan pasir.
“Lori FRU Unit 5 tersebut dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan pasukan telah dirempuh dari hadapan oleh lori pasir terbabit yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
“Polis Perak menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan jam 8.54 pagi melibatkan kenderaan FRU membawa 18 penumpang dan pemandu.
“Setakat ini mangsa yang disahkan maut seramai lapan orang. Mangsa yang dikeluarkan telah dihantar ke hospital.
“Kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan di lokasi kejadian,” katanya.
Difahamkan, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugas Op Chariot di Teluk Intan.-13/5/2025