Kenyataan Afdlin Shauki pertikai Rafizi sebutnya sebagai ‘pelawak profesional’

Ketua Cabang PKR Setiawangsa,Kuala Lumpur yang baru Datuk Afldin Shauki pertikai Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli sebut beliau sebagai ‘pelawak profesional’ ketika mengulas kemenanganya dalam pemilihan jawatan berkenaan.
Pengarah, penerbit, penulis, pendidik, dan aktivis sosial itu baru ini jadi giant killer tewaskan bekas ketua cabang itu,Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,Nik Nazmi Nik Ahmad.
Afldin keluarkan satu kenyataan khusus untuk jawab hal berkenaan.
·
KENYATAAN MEDIA Dato’ Afdlin Shauki bin Aksan Ketua Cabang PKR Setiawangsa
12 Mei 2025
RESPONS TERHADAP KENYATAAN TERBUKA YB RAFIZI RAMLI
Saya menzahirkan rasa hormat yang tinggi kepada YB Rafizi Ramli selaku Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, seorang tokoh strategik yang telah lama berjuang di barisan hadapan gerakan reformasi negara. Beliau adalah simbol keberanian dalam pendedahan rasuah dan antara arkitek besar dalam pembentukan dasar parti. Saya tidak pernah menafikan sumbangan beliau.
Namun begitu, saya turut mengambil maklum kenyataan beliau yang menyebut saya sebagai “pelawak profesional” apabila menyentuh kemenangan saya sebagai Ketua Cabang PKR Setiawangsa. Biarpun mungkin disampaikan dalam nada berseloroh, kesannya bukan kecil.
Saya telah menyumbang kepada pembentukan minda dan jiwa masyarakat melalui karya seni selama lebih 30 tahun. Seni bukan sekadar hiburan kosong, ia cerminan masyarakat, dan kadangkala lebih jujur.
Saya tidak malu dengan gelaran pelawak dan juga pengarah, penerbit, penulis, pendidik, dan aktivis sosial. Ia adalah sebahagian daripada identiti saya sebagai anak seni. Ianya juga cara saya menyara keluarga saya selama ini. Tetapi apabila label itu digunakan dalam konteks mempertikai kelayakan dan mandat kepimpinan yang diberikan oleh akar umbi, maka ia membawa maksud yang lain. Seolah-olah suara ahli yang memilih saya tidak wajar diberi penghormatan hanya kerana latar belakang saya tidak datang dari ‘kilang politik’.
Izinkan saya tegaskan bahawa saya masuk bertanding bukan ketika parti berada di puncak kuasa, tetapi sewaktu ramai memilih untuk menjauh ketika PKR kalah teruk akibat gelombang Langkah Sheraton. Saya tidak tunggu peluang terbuka luas baru datang mencuba nasib. Saya tampil ketika parti sedang luka, dan ramai yang tidak lagi percaya kita mampu bangkit. Saya memilih untuk yakin dan berjuang, walau dari gelanggang yang asing bagi orang politik iaitu dunia seni.
Lebih menyedihkan, masih ada pihak yang menyangka saya cuma ‘kepala menang, badan kalah’. Hakikatnya, seluruh pasukan saya di Setiawangsa merangkumi Timbalan Ketua Cabang, Naib Ketua Cabang, AJK dan Ketua AMK turut menang dalam pemilihan. Ini bukan kemenangan peribadi, ini suara kolektif akar umbi yang menuntut nafas baharu dan kepimpinan yang bersedia untuk turun padang, bukan sekadar muncul di pentas wacana.
Dunia seni telah membentuk saya bukan untuk menjadi pemimpin sempurna, tetapi untuk menjadi manusia yang tahu mendengar, berempati, dan merasai denyut nadi rakyat. Politik tanpa rasa kemanusiaan hanyalah pengurusan kuasa yang kering. Saya hadir untuk membawa nilai, bukan sekadar imej. Saya memilih jalan ini kerana saya yakin, seni dan politik adalah dua medan yang mampu menyentuh nurani rakyat dan saya mahu menjadi jambatan antara dunia kreatif dengan pentadbiran yang lebih berperikemanusiaan.
Saya tidak akan memanjangkan polemik. Tetapi saya percaya, jika kita benar-benar mahu melihat KEADILAN kekal relevan, maka kita mesti meraikan perbezaan, bukan memperlekehkannya. Anak muda, profesional, golongan seni dan rakyat biasa mesti melihat parti ini sebagai rumah perjuangan yang inklusif, bukan gelanggang ejek-mengejek dalam kalangan pemuka.
Saya tetap berpegang pada prinsip. Saya terbuka untuk bekerjasama, termasuk dengan YB Rafizi sendiri, demi membina cabang yang lebih kuat dan membawa parti ke hadapan. Tetapi saya juga tidak akan berdiam apabila integriti dan mandat yang saya pikul cuba dipertikai secara terbuka dan sinikal.
Saya terbuka untuk berdialog. Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak akan berdiam diri jika usaha saya dan suara akar umbi cuba dipinggirkan hanya kerana saya tidak datang dari “kilang politik” yang sama.
Marilah kita kembali kepada dasar perjuangan: hormati keputusan akar umbi, raikan latar belakang yang pelbagai, dan bekerja untuk rakyat — bukan untuk pujian sesama kita.
Sekian. Terima kasih.
Dato’ Afdlin Shauki bin Aksan
Ketua Cabang KEADILAN Setiawangsa
‘Pelawak Professional’