Sembilan jenazah dan jasad anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan semalam selesai diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di FRU Unit 5, Sungai Senam Ipoh pada 3.46 pagi ini.
Diberikan istiadat kepahlawanan PDRM, kesemua keranda jenazah dan jasad yang tiba pada 3.13 pagi dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak itu dilitup dengan bendera Malaysia, Jalur Gemilang.
Tujuh jenazah anggota FRU yang beragama Islam kemudian disolatkan di Surau Al-Mustakim diimamkan oleh Ustaz Azrul Zaimi Muhammad Ali.
Terdahulu, jenazah dan jasad kesemua anggota FRU itu dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan pada 12.33 tengah malam selepas selesai bedah siasat sebelum tujuh jenazah beragama Islam disolatkan di surau IPD Hilir Perak.
Lebih 500 waris mangsa dan anggota polis menyaksikan perjalanan terakhir perwira negara itu. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin.

Selesai istiadat di FRU Unit 5, Sungai Senam, semua waris turut memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah dan jasad anggota FRU itu dibawa ke lokasi masing-masing untuk dikebumikan.
Insiden pada kira-kira 8.50 pagi Selasa itu menyaksikan sembilan anggota FRU terkorban apabila kenderaan dinaiki mereka, yang dalam perjalanan ke Ipoh selepas satu penugasan di Teluk Intan, dirempuh lori membawa muatan batu menyebabkan lapan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan.
Menurut peniaga gerai makan Airul Amri Abd Hamid, 31, semasa menceritakan peristiwa itu berkata beliau sedang membuat persiapan untuk membuka gerai apabila tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat sekitar 8.50 pagi, menyebabkan beliau bergegas ke lokasi kejadian.

“Keadaan agak kelam-kabut kerana ramai anggota di lokasi. Mereka (lori pasukan) berkonvoi, dan apabila sebuah daripada kenderaan terlibat kemalangan, kenderaan lain di depan berhenti untuk membantu.. ramai menjerit melihat rakan mereka terlibat (kemalangan).
“Suasana begitu pilu melihat mereka berusaha membantu rakan, dan ada mangsa dari kenderaan FRU terbabit yang masih bernafas. Anggota FRU yang lain bantu mengangkat dan menyusun rakan mereka di tepi jalan,” katanya.
Sementara itu seorang pembantu gerai Noor Ain Asyiqin Abdul Khalel, 38, berkata beliau melihat ramai anggota FRU bergegas turun dari sebuah lagi lori pasukan itu dan berlari ke arah kenderaan yang terbalik akibat kemalangan itu.

“Mereka berlari sambil menjerit Allahuakbar dan ada memanggil nama rakan mereka. Memang dengar orang meraung dan menangis kerana ada (anggota) yang sampai di lokasi beritahu terdapat mangsa sudah pucat dan parah,” katanya.
Beliau berkata kawasan itu memang sering berlaku kemalangan dengan tiga kejadian berlaku dalam tempoh enam bulan, namun beliau berkata insiden hari ini paling menyayat hati kerana melibatkan kehilangan nyawa.
Pagi tadi Ketua Polis Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, semasa konvoi pasukan itu dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena Hari Wesak di sini.
Semua mayat terlibat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.-14/5/2025
