Thursday - 15, May 2025

Rusia sahabat baik Malaysia – PM

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon sokongan peribadi Presiden Rusia Vladimir Putin untuk melaksana dan mempercepat pelbagai projek termasuk kerjasama dalam bidang teknologi makanan, nuklear dan ketenteraan antara kedua-dua negara.

“Kami akan memastikan bahawa kerjasama itu meliputi semua bidang,” katanya semasa pertemuan dengan Putin di Kremlin pada Rabu.

Anwar juga berkata bahawa Rusia kekal sebagai rakan baik Malaysia, dengan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah terjalin sejak 1967.

“Sudah banyak perbincangan dan memorandum persefahaman (diadakan), jadi telah sampai masanya kerjasama itu direalisasikan secepat mungkin,” kata Anwar yang mengetuai delegasi ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei.

Beliau berkata pertemuan dengan Putin itu penting memandangkan perbincangan meluas dengan komuniti perniagaan dan ketua industri mengenai pelaburan dalam digital, peralihan tenaga, teknologi makanan, nuklear serta kerjasama ketenteraan.

Semasa pertemuan tersebut Anwar merakamkan ucapan terima kasih terhadap Putin atas penghormatan dan peluang untuk bertemu dan membincangkan isu-isu serta melaksanakannya bagi meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita berbincang dengan panjang lebar (dan) anda telah memberikan kami keistimewaan dan penghormatan yang jarang berlaku; Rusia adalah sebuah negara yang hebat dan sangat penting yang memberikan kami penghargaan sedemikian.

“Dan delegasi saya, sudah tentu, amat menghargainya,” kata Anwar, yang juga menteri kewangan.

Beliau berkata pertemuan itu membincangkan pelbagai isu yang memberi manfaat.

“Kami berharapkan kejayaan dalam mesyuarat dan perbincangan dalam tempoh beberapa hari yang akan datang ini,” kata beliau.

— BERNAMA -15/5/2025

PM Anwar tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula hari ini dengan diberi Kawalan Kehormat sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2 di sini pada 6.26 petang waktu tempatan (11.26 malam waktu Malaysia).

Perdana Menteri menerima sambutan kehormatan sejurus tiba di lapangan terbang berkenaan.

Anwar adalah Perdana Menteri pertama Malaysia yang diberikan sambutan seumpama itu selepas hampir dua dekad.

Perdana Menteri kelima iaitu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menerima sambutan serupa semasa mengadakan lawatan rasmi ke Rusia pada tahun 2007.

Ketibaan Anwar disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai dan Timbalan Menteri Luar Rusia Andrey Rudenko.

Lawatan rasmi itu, yang berlangsung hingga 16 Mei, adalah atas undangan Presiden Rusia Vladimir Putin dan merangkumi kunjungan ke beberapa lokasi utama di Moscow serta Kazan, Tatarstan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengetuai delegasi terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Program sempena lawatan itu bermula malam ini dengan Perdana Menteri menghadiri majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Rusia dan pada Rabu, beliau akan mengadakan perbincangan meja bulat bersama kira-kira 20 pemimpin industri di negara berkenaan.

Anwar dijadual mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya Mikhail Mishutin serta menghadiri mesyuarat bersama Presiden Vladimir Putin.

Pada Khamis, Perdana Menteri akan menyampaikan syarahan umum di Institut Hubungan Antarabangsa Negara Moscow (MGIMO) dan dijadual menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat daripada universiti tersebut atas sumbangan beliau dalam menegakkan keamanan sejagat serta mengeratkan kerjasama antarabangsa.

Sementara itu di Kazan, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov dan menyampaikan ucaptama semasa Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Rusia-Dunia Islam pada Khamis.

Kemuncak lawatan Anwar ke Kazan ialah penyertaan beliau dalam Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-16: KazanForum seterusnya dijemput menyampaikan ucaptama semasa sesi pleno.

KazanForum merupakan platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam.

Pada 2024, Rusia adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (USD2.48 bilion).-14/5/2025

Read more

khabar terbaru