Monday - 19, May 2025

Jangan jadikan guru dan pelajar sebagai bahan uji kaji…

Share

Ini adalah realiti.Sudah menjadi kebiasaan selepas pilihanraya umum akan berlaku pertukaran menteri…begitu juga halnya jawatan Menteri Pendidikan.

Juga sudah jadi kebiasaan bila berlaku pertukaran menteri ada macam macam perubahan dibuat ikut ‘kepala’ menteri baru.

Jawabnya guru dan murid sekolah pening dibuatnya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-54, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat yang dihadiri 5,000 guru nampaknya cukup sedar masalah ini.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis itu Zahid mengingatkan agar sistem pendidikan negara tidak boleh kerap berubah setiap kali pucuk kepimpinan kementerian berganti baharu atau berlaku pertukaran menteri sehingga menjadikan guru dan pelajar sebagai bahan uji kaji.

Beliau berkata, memang tidak dinafikan pucuk kepimpinan Kementerian Pendidikan (KPM) kerap berubah seiring PRU yang diadakan setiap lima tahun.

“Tetapi janganlah setiap lima tahun PRU apabila berganti menteri, sistem turut diganti, ganti silibus dan ganti kaedah.

“Jangan jadikan guru dan pelajar sebagai bahan uji kaji… kalau boleh sistem itu mesti kekal panjang hingga 50 tahun,” katanya.

Zahid berkata, sistem pendidikan negara bermatlamat untuk melahirkan insan berkualiti, dan seharusnya sistem sedia ada dilaksanakan dengan teratur sehingga mencapai keberkesanan.

“Janganlah mewujudkan legasi untuk kepentingan peribadi yang akhirnya guru dan murid dimangsakan,” katanya.

Zahid memuji langkah KPM melantik seramai 1,470 personel MyPg, iaitu pembantu guru, tahun ini.

Beliau berkata, pelantikan pembantu guru itu akan memberi lebih ruang untuk guru memfokus tugas hakiki dalam pelaksanaan pedagogi bagi mencapai kualiti pendidikan yang tinggi.

“Ini kerana beban lain yang terpaksa ditanggung guru selama ini akan diambil alih oleh pembantunya,” katanya.

Sebelum itu dalam ucapan di majlis itu Zahid menggariskan lima hala tuju utama dalam membina semula ekosistem pendidikan negara.

“Pertama, perubahan secara inklusif dan saksama dengan peruntukan RM64.1 bilion dalam Belanjawan 2025, mesti benar-benar sampai kepada penerima.

“Kedua, merombak sistem tugasan guru dengan mengembalikan peranan asal mereka dan bijak meminimumkan kerja rutin, serta mengoptimumkan masa emas guru bersama murid,” katanya.

Ketiga, beliau berkata, menjaga kebajikan semua lapisan guru termasuk guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), tahfiz, berstatus orang kurang upaya (OKU) serta pendidikan khas.

“Mereka ini melangkaui batas tugas biasa namun sering tertinggal dari radar penghargaan dan ganjaran.

“Hala tuju keempat pula mempercepatkan transformasi digital secara adil, manakala yang kelima ialah meraikan guru bukan hanya di pentas Hari Guru tetapi dalam sistem perkhidmatan itu sendiri,” katanya.

Sementara itu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek,dalam ucapan aluannya umum permohonan pertukaran guru boleh dibuat selepas berkhidmat cukup dua tahun tanpa syarat.

Ia adalah antara berita gembira diterima warga pendidik di seluruh negara sempena sambutan Hari Guru Ke-54.

Selain itu, Kementerian Pendidikan (KPM) turut menyediakan seramai 1,470 orang personel MyPg iaitu pembantu guru bagi tahun ini dan sekolah terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan akan menerima dua pembantu guru terbabit.

Bagi inisiatif ketiga, seramai 32 guru dalam kalangan penerima Anugerah IKON, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Berwibawa sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan bakal melalui pengalaman bertugas di sekolah antarabangsa di United Kingdom secara percuma di bawah Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT).

Inisiatif keempat, KPM akan menghantar guru dan pegawai terpilih untuk mengikuti program kursus jangka pendek di luar negara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam beberapa bidang terpilih.

Bagi inisiatif Kelima, diskaun 20 peratus diberi bagi pembelian tiket penerbangan kepada guru ke seluruh destinasi melalui portal MH GoM, manakala inisiatif ke enam ialah pemberian diskaun buku antara 20 hingga 30 peratus bagi pembelian secara dalam talian menggunakan ID DELIMa KPM.- 15/5/2025

Read more

khabar terbaru