Kalau sebut tentang PETRONAS dan PETROS rasanya ramai sedia maklum mengenai kontroversi yang selubungi syarikat minyak nasional dan syarikat minyak kerajaan negeri Sarawak kebelakangan ini.
Pada awal Mei PETRONAS mengesahkan bahawa anak syarikatnya, PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), menerima notis pada 30 April 2025, daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkaitan pemprosesan dan pengedaran gas.
Sebaliknya ia menegaskan bahawa PCSB diberi kuasa mengikut undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 untuk menjalankan aktiviti syarikat dan mematuhi semua undang-undang yang terpakai dalam berbuat demikian.
Namun hal berkenaan telah diredakan hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg bersama barisan kepemimpinan tertinggi PETRONAS dan PETROS di Perdana Putra,Putrajaya pada 9 Mei lalu.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memuktamadkan prinsip asas dalam masa terdekat seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara kedua syarikat.
Pertemuan berkenaan berlangsung dalam suasana mesra yang harmoni berteraskan semangat Persekutuan.
Semalam semasa berucap pada satu majlis di Bau,Abang Johari kata perasaan cemburu terhadap kekuatan ekonomi Sarawak yang semakin berkembang dipercayai menjadi sebahagian punca pertikaian antara PETRONAS DAN PETROS.
“Itulah sifat manusia, apabila seseorang berjaya, akan ada yang mula cemburu. Hasil Sarawak telah meningkat dengan ketara.
“Apabila ini berlaku, pihak yang tiada kerja lain mula memainkan naratif seperti ‘Sarawak untuk Orang Sarawak’ kepada mereka yang cemburu,” katanya.
Justeru, Abang Johari memaklumkan, beliau perlu menangani isu melibatkan PETRONAS dan PETROS itu.
Apapun katanya beliau komited untuk mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak.
Pada hari ini,Sabtu ketika berucap di satu majlis di Sarikei,Premier Sarawak itu telah membuat kenyatan untuk sejukan lagi isu PETRONAS-PETROS.
Beliau menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa usaha Sarawak menuntut hak dalam pengurusan minyak dan gas, akan ‘membunuh’ PETRONAS.
Sebaliknya, Premier Sarawak itu memaklumkan, Kerajaan Sarawak berhasrat menjalinkan kerjasama baik dengan PETRONAS.
Beliau berkata, kerjasama PETRONAS dengan PETROS akan membawa manfaat kepada Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana beliau faham. Sebab itulah, beliau bersetuju dengan lantikan PETROS sebagai ‘aggregrator’ gas Sarawak.
“Beliau memahami perjuangan Sarawak menuntut hak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya ingin berterima kasih kepada beliau, dan kita akan meneruskan usaha kita menguruskan secara saksama… bermakna bukan kita hendak ‘membunuh’ PETRONAS,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Jalan Pasi ke Sibu-Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang di Sarikei.-17/5/2025