Monday - 19, May 2025

Isu Rafizi-Nurul Izzah: Mari intai drama politik di Kota Kinabalu

Share

PELIK…ada satu drama politik berlaku di Kota Kinabalu pada petang Sabtu yang dikatakan ada kaitan isu kehangatan saingan antara Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.

Zahirnya ia nampak seperti dua majlis biasa yang berlangsung di tempat berasingan di ibu negeri Sabah.

Namun ada kalangan ahli PKR sendiri dikatakan naik bingung melihatnya.

Apa tidaknya…satu majlis pelancaran rasmi jentera PKR Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.

Ia diadakan di Sabah International Convention Center yang dihadiri Nurul Izzah selaku Naib Presiden.

Satu lagi ialah majlis jelajah HIRUK Sabah di dewan ITTC.

Majlis untuk kempen jawatan nombor dua PKR itu dihadiri oleh Rafizi.

Jarak antara Sabah International Convention Center dan ITCC cuma sekitar 12 kilometer.

Ikut ceritanya apa yang jadi bahan bualan ialah biasanya majlis pelancaran jentera pilihanraya parti peringkat negeri disempurnakan oleh pemimpin peringkat Presiden atau Timbalan Presiden.

Ini kan pula Rafizi selaku Timbalan Presiden pada waktu itu kebetulan berada di ibu negeri Sabah.

Sekalipun beliau berada di Kota Kinabalu untuk kempen jawatan Timbalan Presiden waktunya tentu boleh diubah untuk membolehkan kehadirannya.

Majlis yang disempurnakan oleh Nurul Izzah itu telah disiarkan secara langsung menerusi media sosial.

Ia dihadiri oleh ramai ketua cabang PKR Sabah.

Sebaliknya majlis jelajah HIRUK Rafizi tidak disiarkan secara langsung di media sosial seperti kebiasaannya.

Kenapa terjadi drama yang pelik ini?

Ikut laporan sebuah portal berita MalaysiaGazette ramai kalangan ahli dan pimpinan PKR Sabah sendiri tidak mahu Rafizi dijemput ke majlis pelancaran jentera pilihanraya itu.

Daripada 25 cabang PKR di Sabah, dikatakan sekurang-kurangnya 21 cabang hadir memberikan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah.

Ini lain cerita pula…dalam pada itu portal berita berkenaan memetik sumber parti mendakwa Rafizi enggan merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan yang dijadual berlangsung pada 22 Mei ini di Johor Bharu.

Beliau dikatakan sudah hantar surat maklum pada pimpinan PKR mengenai hal berkenaan.

Betul ke?…namun setakat ini Rafizi sendiri tidak ada buat sebarang kenyataan terbuka mengenai dakwaan yang agak serius itu.

Sudah menjadi amalan biasa bagi mana mana parti politik seperti juga UMNO…perhimpunan sayap pergerakan Pemuda dan Wanita dirasmikan oleh Timbalan Presiden parti.

Selepas majlis di Kota Kinabalu Rafizi telah hadiri jelajah HIRUK Sarawak yang diadakan di Penview Convention Centre, Kuching.

Ucapan beliau biasa biasa sahaja tidak sehangat di Kota Bharu pada Jumaat malam.

Rafizi antara lain cuma kata pertandingan ini tidak diatas padang yang sama rata.

Beliau secara berjenaka kata ‘kiamat dunia kalau saya menang’.- 17/5/2025

Read more

khabar terbaru