Monday - 19, May 2025

Ini komen Saifuddin mengenai dakwaan politik wang dalam PKR…

Share

“Politik wang dalam takrif beri duit untuk mendapatkan sokongan ini, saya tidak fikir PKR berada pada tahap itu.

“Tetapi, kalau menggunakan wang untuk mengadakan program, jamuan, sewa khemah, bayar bil hotel itu memang adalah.”

Bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kata demikian sebagai menyangkal dakwaan PKR kini berdepan risiko amalan politik wang bagi menarik sokongan khususnya pada pemilihan sesi 2025-2028.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri9 dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan kata Lembaga Disiplin parti tidak menerima sebarang aduan mengenai tindakan politik wang setakat ini seperti yang didakwa.

Semalam, media melaporkan Timbalan Presiden parti Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui PKR berdepan risiko amalan politik wang yang dianggap sebagai antara bentuk rasuah paling sukar dibuktikan.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri satu majlis di Pulau Pinang,Saifuddin berkata PKR kini mempunyai keupayaan logistik serta dana untuk mengadakan program atau majlis.

Ini berbanding zaman awal penubuhan parti pada 1990-an dengan majlis termasuk kongres parti telah diadakan di warung, rumah dan sekolah Cina akibat kekurangan dana.

Namun beliau tidak bersetuju dengan perbelanjaan terlalu tinggi sehingga kelihatan mewah kerana rakyat sensitif terhadap kemewahan yang ditonjolkan, selain menggesa ahli parti membuat laporan kepada Lembaga Disiplin jika mempunyai bukti mengenai amalan politik wang seperti yang didakwa.

“Parti ini tidak (dan) bukan dibina melalui kekuatan dana, (tetapi) kita bina dengan menyuntik idealisme kepada rakyat untuk terima parti ini seadanya. Peraturan dalam lembaga parti sangat jelas. Apa yang boleh dan apa yang tidak boleh,” katanya.

Mengulas mengenai pertandingan antara Nurul Izzah Anwar dengan Rafizi yang juga Menteri Ekonomi bagi jawatan Timbalan Presiden, Saifuddin Nasution berkata kedua-dua calon berkenaan mempunyai sumbangan besar kepada PKR, justeru menasihati 29,000 perwakilan untuk menggunakan kayu pengukur bagi memilih calon pilihan mereka.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Wanita dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei.- 17/5/2025

Read more

khabar terbaru