Cuma beberapa hari lagi menjelang hari penentuan pada 23 Mei ada khabar yang kurang enak menjalar.
Ini bukan khabar angin tetapi sudah sah Datuk Seri Rafizi Ramli menolak jemputan untuk laksana tugasnya merasmikan serentak kongres sayap pemuda dan wanita PKR di Johor Bharu pada 22 Mei.
Kongres berkenaan akan diadakan sehari sebelum pemilihan jawatan PKR pusat serta Kongres Nasional PKR di ibu negeri Johor itu.
Mereka yang faham politik cukup tahu ini satu tugas besar tahunan yang wajib dilaksana oleh orang yang berjawatan Timbalan Presiden PKR.
Ia juga sudah menjadi kebiasaan dalam mana mana parti politik lain di negara ini.
Kalau dalam UMNO ia ibarat kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Hasan tolak jemputan untuk rasmi Perhimpunan Pemuda dan Wanita UMNO yang diadakan sehari sebelum perhimpunan agung utama parti.
Ini pula bukan kerana sakit demam atau sebab ada kecemasan tetapi ia dipercayai jelas ada kaitan dengan kehangatan isu pemilihan jawatan Timbalan Presiden.
Ketua Pemuda PKR Adam Adli hari ini mengesahkan kepada portal berita Malaysiakini beliau telah menerima salinan surat Rafizi yang dihantar kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keputusan menolak jemputan.
Asalnya Rafizi setuju rasmi kongres itu.
“Kami bagaimanapun sedang berusaha untuk mendapatkan persetujuan beliau semula, sesuai kedudukannya sebagai Timbalan Presiden. Kehadiran beliau sebagai perasmi melengkapkan tradisi kongres,” kata Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh memberitahu Malaysiakini bahawa “belum disahkan” sama ada Rafizi akan merasmikan majlis itu atau tidak.
Untuk rekod, Adam dan Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek secara terbuka umum sokong Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Dalam pada itu antara bibit ‘luka’ ini ialah pimpinan PKR Sabah tidak jemput Rafizi ke majlis pelancaran jentera parti untuk pilihanraya negeri Sabah nanti pada petang Sabtu,semalam.
Sebaliknya majlis di dewan Sabah Convention Center ,Kota Kinabalu itu dihadiri dan disempurnakan oleh Nurul Izzah selaku Naib Presiden.
Bukan rahsia lagi kebanyakan ketua cabang PKR di Sabah menyokong Nurul Izzah.
Menariknya…pada waktu majlis itu berlansung kebetulan Rafizi juga berada di Kota Kinabalu untuk hadiri majlis jelajah HIRUK untuk kempen pemilihan jawatannya di dewan ITTC yang terletak 12 kilometer dari situ.
Sehingga berita ini ditulis lewat petang Ahad Rafizi belum buat apa apa kenyataan terbuka atau ulas mengenai keputusan menolak jemputan rasmi kongres Pemuda dan Wanita PKR.
Ahad malam beliau dijadual hadiri majlis jelajah HIRUK Dewan Komuniti Taman Cempaka, Ipoh.- 18/5/2025 – OLEH HIEKAL ROSLI