Monday - 19, May 2025

‘Kau tikam aku…kau minta damai…tak boleh’ – Rafizi

Share

Dewan Komuniti Taman Cempaka di Ipoh yang penuh sesak pada Ahad malam bergema dengan ucapan panas lebih sejam Datuk Seri Rafizi Ramli di majlis kempen jelajah Perak untuk pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Di majlis yang guna cogankata ‘HIRUK’ itu beliau buka cerita beberapa kisah dalaman termasuk akui tidak puashati dengan sistem pemilihan PKR kali ini yang dakwanya tidak sempurna.

Menteri Ekonomi itu juga secara terbuka mengesahkan beliau tolak undangan untuk rasmi serentak kongres Pemuda dan Wanita PKR di Johor Bharu 22 Mei ini kerana ada pihak langgar ‘adab dan hiraki parti’.

Beliau juga mendakwa ada gerakan tersusun untuk cantas mereka yang tidak sebulu dari bawah hingga atas hingga goncang kestabilan parti.

Majlis jelajah HIRUK negeri Perak merupakan kempen kedua terakhir Rafizi dan teamnya sebelum penamat di Johor Bharu esok,20 Mei.

Pemilihan jawatan pimpinan pusat PKR akan berlangsung pada 23 Mei.

Mengenai keputusan menolak undangan untuk rasmi kongres Pemuda dan Wanita PKR yang baru tersebar dilapor media,Rafizi memberitahu beliau hantar surat rasmi mengenainya kepada Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan salinan kepada Setiausaha Agung Fuziah Salleh.

Beliau hairan bagaimana surat sulit itu boleh bocor dan tersebar.

Untuk rekod… sudah menjadi amalan tahunan dan tradisi parti Timbalan Presiden bertugas merasmikan serentak kongres kedua sayap itu menjelang kongres nasional PKR.

Ia juga jadi amalan tahunan parti parti politik lain di negara ini termasuk UMNO dimana Timbalan Presiden merasmikan himpunan sayap pemuda ada wanita.

Untuk rekod sebagai latar belakang…Ketua Pemuda PKR Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan Ketua Wanita Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan baru ini sudah isytihar secara terbuka mereka sokong Nurul Izzah Anwar untuk jawatan Timbalan Presiden.

Rafizi berkata ada yang dakwa beliau bertindak demikian kerana merajuk,bersikap tidak profesional dan sebagainya.

“Saya tunggu bola tanggong”,katanya sambil membangkitkan isu majlis perasmian jentera PKR Sabah untuk pilihanraya negeri itu di Sabah Convention Center petang Sabtu semalam,17 Mei.

Ia dihadiri dan disempurnakan oleh Nurul Izzah yang berjawatan Naib Presiden PKR yakni lebih junior dari Rafizi yang merupakan Timbalan Presiden PKR.

Turut hadir bersama Nurul Izzah ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang berjawatan Naib Presiden PKR.

Katanya dari segi adab dan hiraki parti majlis seumpama itu sepatutnya disempurnakan oleh Timbalan Presiden yang juga Pengarah Pilihanraya.

Lebih menjadi tamparan padanya…kebetulan pada waktu yang sama beliau berada di Kota Kinabalu untuk hadiri majlis jelajah HIRUK di Sabah di dewan ITCC.

Majlis dihadiri Nurul Izzah dan Amiruddin di Sabah Convention Center terletak sekitar 12 kilomiter dari ITCC dimana majlis HIRUK berlangsung.

Rafizi dakwa sepatutnya Nurul Izzah adakan majlis kempen di Kota Kinabalu pada 19 Mei dan bukan 17 Mei.

Katanya tiba tiba ada poster Nurul Izzah dan Amirudin akan hadir majlis itu pada sama hari dan waktu majlis HIRUKnya di Kota Kinabalu.

“Saya tidak kisah kamu nak pikul tetapi kenapa tidak berpandukan adab…kena ikut hiraki (parti)…kalau dah langgar…dah tak sabar sabar nak Timbalan Presiden baru…bagi Amir dan Izzah lancar,”katanya.

(Untuk rekod berkaitan isu ini…ada media melaporkan sebahagian besar ketua cabang PKR di Sabah tidak mahu Rafizi diundang ke majlis itu…juga kebanyakan mereka sokong Nurul Izzah)

Rafizi menegaskan dalam berpolitik kena konsisten dan mana yang tidak betul kena tegur.

“Ini bukan soal batang tubuh saya…katakan nanti Nurul Izzah pula kena (macam saya)…jadi kena jaga adab dan hiraki,”katanya.

Mengenai pemilihan parti,Rafizi berkata ada orang persoalkan kenapa baru sekarang lepas pemilihan cabang semua selesai nak bercakap dan tidak dua tahun lalu.

Beliau menjelaskan asalnya majoriti pimpinan parti anggap tidak perlu adakan pemilihan sekarang kerana nak hadapi pilihanraya negeri Sabah,kemudian negeri negeri lain dan seterusnya pilihanraya umum dalam tempoh dua tahun lagi.

Katanya hal berkenaan sudah dibincangkan secara dalaman.

Namun kemudian dapat tahu vendor untuk buat sistem pemilihan sudah dilantik.

Beliau dakwa sistem berkenaan lemah dan cetuskan masalah serta tidak puashati semasa pemilihan cabang PKR diadakan.

Akibatnya,kata Rafizi beliau terima banyak aduan sehingga ke saat hujung pemilihan.

Juga dakwanya aduan tidak mendapat tindak balas yang memuaskan dari pihak yang kendali pemilihan sehinggalah kemudian diputuskan untuk adakan audit.

Namun itu juga tidak selesaikan isu tidak puashati.

Katanya Rafizi sebagai jalan mudah beliau boleh ambil sikap tidak peduli dan buat tidak tahu saja segala aduan yang diterimanya.

“Pilihan ada pada saya…boleh ambil pendirian bukan masalah aku…saya menteri…saya timbalan presiden…cium tangan OK…marah le orang….nama parti kita keadilan…(jadi kena) pastikan keadilan ada,”katanya.

Rafizi juga dakwa adanya gerakan untuk cantas mereka yang tidak sebulu dari bawah sampai atas.

Katanya mana rasa ‘hitam’ mulalah atur dan catur hendak ditukar sedangkan di cabang cabang adalah pemilihan sesama ahli bawahan yang sepatutnya biar mereka bersaing.

Beliau menilai tindak tanduk itu akan rosakan parti.

Katanya setelah beliau memilih untuk cakap mengenai hal berkenaan di luar tiba tiba ada pihak yang ajak berdamai atas alasan bimbang jejas parti.

“Mari damai….damai apa…kau orang yang goncang dulu…kau tikam aku (lepas itu) kau minta damai….mana boleh macam itu…tak boleh…kerana kita diajar untuk cakap benar,”ujarnya.

Rafizi juga anggap percaturan beliau hadapi pemilihan untuk pertahan jawatan Timbalan Presiden adalah tindakan berani mati dalam politik.- 19/5/2025

Read more

khabar terbaru