FOKUS

Menjelang pemilihan PKR yang mendebarkan…’chai’ sudah keluar

Kalau selak balik pemilihan parti politik yang panas lagi meletop di masa lampau… ini boleh dikira satu langkah baru.

Petang Rabu tersebar senarai rasmi Team Datuk Seri Rafizi Ramli untuk berentap dengan Team Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan PKR kali ini.

Dalam bahas politik senarai itu disebut ‘chai’.

Dulunya senarai yang tertera nama si polan dan si polan dalam mana mana team yang bertanding lebih dikenali sebagai ‘rakit’.

‘Chai’ Rafizi bukan kisah dongeng yang tersebar macam hantu tidak bertuan.

Sebaliknya ia datang dari satu sumber rasmi yakni laman facebook Menteri Ekonomi itu sendiri.

Kemunculan ‘Chai’ Rafizi mendorong ramai segera menyelak segala macam platform media sosial Nurul Izzah.

Siapa tahu kalau-kalau anak Perdana Menteri itu juga hendak perkenalkan secara rasmi orang-orangnya yang turut bertanding.

Nampaknya sehingga berita ini ditulis lewat Rabu malam tiada ‘chai’ Nurul Izzah yang keluar.

Sebaliknya ada whatsapp jemputan media ke grand finale kempennya di sebuah resort di Johor Bharu jam 5 petang Khamis.

Mungkin ‘Puteri Reformasi’ itu ada kebijaksanaan tersendiri dalam soal ini kerana hendak kekalkan momentum kempennya yang low profile.

Apapun gandingan ‘chai’ ini adalah satu modus operandi sangat penting dalam mengharungi mana mana gelanggang pertandingan rebut jawatan yang sengit seperti Team Rafizi vs Team Nurul Izzah.

Istilah ‘Team’ pula terpaksa digunakan kerana ini adalah pemilihan yang melibatkan gandingan dua kumpulan yang ramai.

Contohnya paling hangat dulu pada tahun 1987 berlaku pertandingan bersejarah dalam UMNO antara Team A Tun Dr Mahathir Mohamad VS Team B Tengku Razaleigh Hamzah.

Keduanya ada rangkaian masing masing.

Dalam satu pertandingan besar seperti ini siapa yang tidak masuk ‘chai’ jawabnya boleh gigit jari kemungkinan besar terpelanting kecuali ada kekuatan tersendiri.

Gandingan “chai’ inilah yang saling bantu membantu dan dokong mendokong agar dapat raih dan kepung undi.

Dari dulu lagi dan sudah menjadi kebiasaan senarai ‘chai’ akan beredar secara tidak rasmi dari tangan ke tangan dan dari mulut ke mulut dan sewaktu dengannya.

Ada yang kertas tulis tangan,ada yang dicetak dengan kertas biasa dan cara cara lain untuk sebar rangkaian chai mereka.

Kata orang pandai pandai sendiri kena bawa diri di celah percaturan sengit suasana pemilihan.

Mereka juga akan berkempen secara bergerak bersama perkenal diri dari negeri ke negeri seperti dibuat Rafizi dan Nurul Izzah..

Dan…langkah Rafizi sebar ‘chai’ secara terbuka lengkap tersusun rapi dengan semua orang dalam rangkaiannya agak mencuri perhatian kerana sebelum ini tidak pernah dibuat orang.

Senarai ‘chai’ itu terbahagi kepada segmen Timbalan Presiden dan Naib Presiden,Majlis Pimpinan Pusat (MPP),Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat,Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Dari 12 nama yang tersenarai untuk bertanding Naib Presiden,mereka dalam ‘chai’ Rafizi ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang,Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun dan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G Manivanan.

Antaranya nama untuk MPP ialah ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Subang; Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.

Dalam saingan untuk jawatan Ketua Wanita orang yang mewakili team Rafizi ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR.

Rodziah cabar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selaku penyandang dalam saingan satu lawan satu untuk jawatan itu.

Bagi sayap pergerakan AMK pula orangnya ialah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Arshad Hassni bagi jawatan timbalan ketua.

Sekalipun tidak tersebar secara rasmi namun Team Nurul Izzah juga mempunyai banyak nama besar selain Fadhlina yang mempertahankan jawatan Ketua Wanita.

Ketua AMK baru Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan menang jawatan itu tanpa bertanding.

Bekas Ketua AMK Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan pula bertanding bagi jawatan MPP.

Calon yang bertanding Naib Presiden diketahui penyokong Nurul Izzah ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari,Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, R Ramanan,Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan.

Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Senator Abun Sui Anyit, bekas EXCO Selangor, Hee Loy Sian, bekas Naib Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub.

Calon MPP pula Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil,Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution,Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin,bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.-21/5/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button