Thursday - 22, May 2025

500 petugas media antarabangsa antara yang mendaftar untuk Sidang Kemuncak ASEAN

Share

Lebih 1,200 pendaftaran media diterima, termasuk 500 media antarabangsa untuk membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di Pusat Konvenseyn Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei ini dedah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata demikian ketika meninjau persiapan di Pusat Media Antarabangsa (IMC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di KLCC.

“Jumlah penyertaan yang tinggi menunjukkan bahawa sidang kemuncak ini amat dinanti-nantikan dan akan dilaporkan oleh pelbagai agensi berita.

“Pendaftaran wartawan antarabangsa telah mencecah lebih 500, jadi kita jangkakan dalam sehari dua ini, angka tersebut akan lebih tinggi dan saya harap para wartawan juga mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan daripada agensi berita negara lain,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran capaian Internet untuk petugas media, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan beberapa kemudahan termasuk tiga unit “5G in a box” bersaiz besar dan 26 unit bersaiz kecil yang dipasang di beberapa lokasi sepanjang persidangan itu.

“Setakat ini, saya mendapati kelajuan Internet amat baik, dengan sesetengah lokasi mencatatkan antara 300 hingga 600 Mbps malah hampir 1 Gbps di pusat media,” katanya.

Sementara itu, pengamal media tempatan dan antarabangsa mula “berkampung” di KLCC yang akan bermula Khamis ini, dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan.

Rata-rata pengamal media hadir untuk mengambil kad akreditasi dan membuat liputan lawatan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di KLCC yang melihat persiapan penganjuran sidang kemuncak berkenaan.

Antara kemudahan disediakan di Pusat Media Antarabangsa (IMC) yang terletak di Dewan 1, KLCC ialah stesen kerja yang dilengkapi dengan palam elektrik, perkhidmatan Internet, penyediaan makanan setaraf hotel berbintang, serta informasi berkaitan menerusi Sekretariat Media ASEAN.

Wartawan Norman Goh dari Nikkei Asia berkata buat masa ini, proses pendaftaran dan urusan di IMC berjalan lancar.

“Kami jangkakan tempat ini akan penuh ketika sidang kemuncak ini, tetapi setakat ini ia berjalan lancar. Agak suka juga untuk ada kemudahan kerusi urut untuk berehat pada hari-hari yang memenatkan,” katanya.

Beliau yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman membuat liputan bagi media tempatan dan antarabangsa, berkata Sidang Kemuncak ASEAN turut menjadi platform bagi menampilkan budaya Malaysia kepada dunia, selain mesyuarat tahap tinggi berkaitan ekonomi dan kerjasama serantau.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan bermula Khamis ini, dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan pula akan bermula pada 26 Mei.

Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 1 Jan 2025 daripada Laos, dengan bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.-21/5/2025

Read more

khabar terbaru