Rasanya sudah agak lama tidak dengar kisah siasatan SPRM keatas aset milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada 13 November tahun lalu.
Hari ini,Khamis baru dapat perkembangan terkini mengenai status siasatan keatas kes berprofail tinggi itu dalam sidang akhbar Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di Putrajaya.
Ikut cakap beliau SPRM sedang berusaha melucutkan hak pemilikan harta yang tidak diisytiharkan milik Allahyarham,keluarga dan sekutunya.
Jumlahnya bernilai melebihi RM2 bilion.
Katanya buat masa ini aset berkenaan sedang dibekukan SPRM.
Beliau menjelaskan aset-aset berkenaan sekiranya benar tak diisytihar adalah kesalahan.
“Walau pun ketiadaan Tun Daim lagi, kita sedang menuju ke arah itu (melucutkan harta) dan kita sedang melihat harta-harta berkaitan yang tidak diisytiharkan pada satu ketika dahulu.
“Kemudiannya terpulang kepada pendakwaan untuk membuat keputusan,” katanya.
Azam kata lebih banyak lagi aset boleh ditemui kerana penyiasat masih melihat kekayaan yang disimpan bekas menteri kewangan itu, ahli keluarga dan “proksi” mereka.
Beliau beritahu, SPRM baru-baru ini menerima maklumat baru daripada rakan sejawatan mereka di luar negara mengenai dakwaan aset yang dimiliki Daim yang tidak termasuk dalam pengisytiharan asetnya kepada pihak berkuasa.
Antara negara yang Daim didakwa mempunyai aset termasuk di Switzerland dan United Kingdom.
Ketika ditanya pemberita sama ada harta itu termasuk Menara Ilham yang dikatakan milik keluarga Daim, Azam berkata: “Anda teka sendiri, tapi saya boleh katakan banyak aset, mencecah hingga RM2 bilion.”
Katanya, pada masa ini pegawai penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan dengan memanggil saksi bagi dipastikan sama ada harta tersebut diperoleh secara betul atau sebaliknya.
“Jadi, dalam kes ini saya telah memberi tempoh lebih kurang dua bulan kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan siasatan,” katanya.
Susulan kematiannya, Daim dibebaskan daripada semua pertuduhan selepas pihak pendakwaan menarik balik kes mereka terhadapnya.
Bagaimanapun, SPRM masih meneruskan siasatan mereka terhadap jejak kewangan aset yang dikaitkan dengan Daim dan keluarganya.- 22/5/2025