Friday - 23, May 2025

Rafizi…saudara akan sentiasa menjadi sahabat saya

Share

Kepada semua ahli parti yang saya kasihi, rakan seperjuangan dan sahabat-sahabat sekalian. Salam reformasi dan salam hormat saya ucapkan buat semua.

Saya sedar beberapa minggu kebelakangan ini bukanlah tempoh yang mudah buat kita semua. Banyak persoalan dan kebimbangan telah dibangkitkan mengenai pemilihan PKR.

Begitu banyak juga kata-kata, pendapat, dan pandangan yang dilontarkan bukan sahaja daripada ahli parti, malahan mereka yang berada di luar dan yang sedang memerhati.

Sebelum itu, izinkan saya menzahirkan kesyukuran atas limpahan sokongan dan galakan yang telah saya terima daripada ahli-ahli dari seluruh pelusuk Malaysia, serta masyarakat umum yang mendoakan yang terbaik buat saya dan parti yang kita dukungi ini.

Dalam masa yang sama, saya juga cakna akan wujudnya mereka yang mungkin terkejut atau marah dengan keputusan ini.

Namun saya yakin, semua ini datang daripada satu hasrat yang sama, untuk bersama-sama membina semula parti dan negara yang kita cintai.

‘Kosongkan pejabat, surat letak jawatan’

Tatkala saya menerima berita bahawa saudara Rafizi telah mengambil cuti dan telah mengosongkan pejabatnya, saya ketika itu masih berada di negara India bagi menghadiri jemputan sebuah persidangan antarabangsa.

Kepimpinan parti turut dimaklumkan mengenai sepucuk surat perletakan jawatan yang telah pun disediakan.

Ketika itu, timbul kebimbangan bahawa beliau mungkin tidak akan bertanding jawatan timbalan presiden sekaligus menambahkan keresahan tentang potensi kekosongan kepimpinan.

Perkara ini berlaku susulan beberapa siri kekalahan di peringkat cabang yang melibatkan pimpinan yang sehaluan dengan saudara Rafizi, serta pimpinan lain di peringkat akar umbi.

Memandangkan kemungkinan kekosongan kepimpinan ini menggusarkan ramai pihak terutamanya anggota dan pimpinan PKR, ada yang membuat seruan agar saya tampil menawarkan diri sebagai calon timbalan presiden.

Seruan ini telah disokong oleh 201 daripada 220 cabang parti.

Hanya pada hari terakhir penamaan calon, saudara Rafizi mengumumkan pencalonannya, selepas saya telah menyambut seruan yang diberikan.

Tidak dinafikan, kritikan saudara Rafizi terhadap keputusan pemilihan mencerminkan suara banyak cabang yang menyaksikan perubahan terhadap status quo.

Sesungguhnya, setiap pemilihan parti pasti hadir dengan cabaran tersendiri, namun segala kebimbangan dan isu yang dibangkitkan oleh para calon mesti disemak dan ditangani dengan teliti.

Walaupun audit antarabangsa telah dijalankan bagi menyiasat kebimbangan yang dibangkitkan, ianya amat penting untuk penambahbaikan terhadap proses pemilihan dilaksanakan bagi menjawab kebimbangan tersebut dan mengurangkan defisit kepercayaan yang wujud.

Langkah-langkah tegas sebegini beserta penambaikan lanjutan penting dalam membantu mewujudkan budaya kebertanggungjawaban, ketelusan dan perpaduan, nilai-nilai yang sering ditekankan oleh kepimpinan tertinggi parti.

Teman seperjuangan yang saya kasihi. Harus kita renungi, parti ini dibina hasil usaha ramai, bukan hanya segelintir individu.

Segala turun naik perjuangan, sama ada memenangi pilihan raya atau mendesak perubahan positif dalam negara, kemenangan bukanlah hasil kerja seorang atau dua pemimpin sahaja.

Setiap ketua cabang dan anggota akar umbi juga memainkan peranan yang cukup penting.

Bagaikan sebuah pohon, kekuatan itu berpaksikan akar umbi terutamanya, kemudian harus disokong cabang dan ranting yang menciptakan keseimbangan buat semua.

Kita dipilih untuk menjadi pemimpin kepada semua.

Sepanjang lebih 25 tahun ini, saya bersyukur atas peluang yang telah saya peroleh untuk belajar menerusi pengalaman melatih, membimbing dan memimpin parti kita.

Ketika saya bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution menggalas tanggungjawab bersama sebagai pengarah pilihan raya pada tahun 2018, PKR berjaya memperoleh 48 kerusi, dengan saudara Rafizi memainkan peranan penting sebagai pengarah strategik dalam sebuah kempen yang sangat mencabar namun efektif.

Sungguhpun begitu, keputusan untuk bersatu dan akhirnya berdepan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah hasil rundingan yang sangat sukar dan getir, namun satu proses yang diperjuangkan dengan penuh semangat oleh saudara Rafizi.

Beliau tidak gentar dan menghadirkan diri – ditemani kami yang terus istiqamah walau mantan timbalan ketika itu memilih untuk memboikot.

Pasca Langkah Sheraton menjelang pilihan raya ke 15 pada tahun 2022 memperlihatkan jumlah kerusi kita berjumlah sebanyak 31, yang merumitkan keadaan.

Namun kita masih bersyukur, Alhamdulilah – presiden parti kita masih mampu membentuk gabungan yang kukuh hasil diplomasi dan usaha gigih tanpa henti.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”. (Surah as-Sof, ayat 4).

Sepanjang kempen pemilihan parti, begitu banyak sentimen dari kalangan yang menyokong saudara Rafizi pantas memperlekehkan kekalahan saya dalam PRU15.

Janganlah kita saling menjatuhkan, sebaliknya akui dan hargailah kekuatan masing-masing. Itulah semangat kebersamaan yang ingin saya kembalikan dalam parti ini.

Harus kita amati, saudara Rafizi telah bertanding sebanyak tiga kali di kerusi bandar majoriti Cina, dan menang kesemuanya.

Saya pula telah bertanding empat kali di kerusi majoriti Melayu dan memenangi tiga daripadanya.

Kekuatan inilah yang perlu kita satukan demi meningkatkan pencapaian kita dalam pilihan raya.

Saya benar-benar percaya bahawa tindakan yang tegas dan berani amat diperlukan agar kita tidak terus kehilangan lebih banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang.

Kita harus berpegang pada semangat kerjasama dan musyawarah untuk bersatu sebagai sebuah parti yang mampu bersaing secara efektif dalam pilihan raya, bukannya berpecah kerana perbezaan dalaman.

Isunya bukan semata-mata tentang sokongan 30 peratus pengundi Melayu atau rekod tertinggi 54 peratus yang kita capai pada tahun 1999. Sebagai parti berbilang kaum, kita bergantung pada rakan-rakan gabungan untuk membina asas sokongan yang lebih luas bagi membentuk kerajaan.

Kita mesti terus memberi perhatian kepada nasib rakyat; Melayu, Cina, India, warga Sabah dan Sarawak. Usaha ini bermula dengan mendengar cabaran harian yang mereka hadapi, dan menggubal dasar-dasar yang memberi kesan nyata kepada kehidupan seharian.

Apa yang turut dekat di hati saya ialah nasib para pekerja gig tidak formal; ibu dan bapa tunggal serta keluarga mereka.

Semua sedang bergelut menghadapi kos sara hidup yang menekan dan berusaha untuk menyediakan keperluan buat orang tersayang. Rakyat perlu diperkasa dan diangkat martabatnya bukan dipinggirkan daripada sokongan ekonomi.

Saya telah turun bertemu akar umbi, dan saya akan terus mendengar dan menyantuni kesemuanya. Apa yang mendorong saya sejak dahulu bukanlah kuasa dan pangkat, tetapi kesan perubahan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat.

Buat sahabat saya saudara Rafizi Ramli, ingin saya sampaikan, sejarah PKR juga lahir daripada sejarah persahabatan yang penuh dengan kepelbagaian.

Cuma, kita kadangkala menghabiskan lebih banyak tenaga bertelagah sesama sendiri daripada melawan musuh sebenar kita. Perkara ini boleh kita ubah.

Saya tahu kita punyai perbezaan pendapat. Namun hakikatnya, kita juga berkongsi begitu banyak persamaan dari segi cita-cita dan semangat perjuangan. Saudara akan sentiasa menjadi sahabat saya. Kita pernah bersama melawan kebobrokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kita berjuang demi reformasi.

Kita tidak punya apa-apa seperti apa yang kita ada pada hari ini, tetapi saat itu, kita tahu kita sedang melakukan sesuatu yang penting dan bermakna – dengan kelapangan yang sentiasa mengisi hati kita, walau ranjaunya di mana-mana.

Dalam kita berhadapan dengan cabaran dalaman dan dilema sebagai sebuah parti dalam kerajaan, kita perlu menyatukan kekuatan yang membawa kebaikan. Kita raikan kepelbagaian ini, selagi mana semangat perjuangan reformasi terus dibawa.

Matlamat kita masih tetap sama, untuk memelihara kepentingan negara – walaupun pendekatan dan cara yang kita pilih mungkin berbeza.

Saya setuju bahawa kita harus menjauhi budaya berpuak, atau kecenderungan kepada sanjungan dan kepentingan diri dengan juga merangkul kekuatan mereka yang tidak semestinya menyokong kita.

Tulusnya, mesej yang ingin saya sampaikan menerusi pencalonan ini adalah membawa kepada kepimpinan yang mendengar dan menggarap semua usaha.

Akhirnya kita semua manusia biasa, dan hanya akan menjadi lebih baik apabila kritikan konstruktif dijadikan sebahagian daripada asas pembinaan diri dan organisasi.

Saya simpan setiap peringatan, komentar, amarah yang dikirim terhadap saya dan menganggap semuanya datang untuk pastikan parti dan negara kita selamat daripada sebarang bahaya.

Saya akan sentiasa beringat dengan pesanan saudara kepada saya dan apapun yang berlaku pada 23 Mei ini – pertalian sahabat antara kita kekal sampai bila-bila, beserta kenangan saat-saat manis terpaksa bermasam muka secara bersama dalam menghadapi Tun Mahathir Mohamad yang mahukan semua kerusi selamat.

Saya juga amat terharu dan berterima kasih atas segala sokongan yang dizahirkan oleh akar umbi sepanjang siri Jelajah Temu Rapat yang saya lalui di setiap negeri.

Segala seruan yang saya sampaikan sepanjang tempoh dua minggu ini, lahir dari keikhlasan demi satu tujuan, bagi bersama untuk membina parti kita dengan tekad, dan semangat kekeluargaan yang tidak dipatahkan hanya kerana perbezaan.

“Two wrongs certainly does not make a right”. Jika kita menuntut agar peraturan dipatuhi, maka kita juga mesti berpegang teguh kepada apa yang telah termaktub secara jelas dalam hitam putih.

Oleh itu, pada 23 Mei 2025, sementara perwakilan yang layak membuang undi melaksanakan tanggungjawab mereka, saya akan mengangkat mandat yang diberi oleh perwakilan – sama ada selaku timbalan presiden mahupun anggota biasa.

Sekiranya diberikan amanah ini, saya terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan saudara Rafizi demi memperkukuh parti.

Begitu juga sebaliknya, andai mandat diberikan kepada saudara Rafizi, saya akan tetap bersama, mendukung usaha membina PKR yang lebih kuat dan bersatu.

Selesai kongres PKR kelak, saya akan turun kembali kepada akar umbi dan meneruskan jelajah mendengar suara rakyat selepas saya menunaikan ibadah haji, Insya-Allah.

Moga Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk terus melangkah dalam perjalanan dan misi ini, demi memelihara yang terbaik buat Malaysia: kepelbagaian kita, keupayaan kita untuk menyuburkan dan menghargai setiap bakat, dan rasa kebersamaan yang melangkaui warna kulit mahupun pegangan agama.

Mungkin kejayaan tidak datang dalam masa terdekat, tetapi sekurang-kurangnya kita tahu, kita telah melakukannya bersama. Salam Hormat.

NURUL IZZAH ANWAR

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Nurul Izzah Anwar yakni calon Timbalan Presiden PKR menerusi laman facebooknya pada malam 22/5/2025

Read more

khabar terbaru