Saturday - 24, May 2025

Jangan hukum antara satu sama lain…Anwar nasihat Rafizi dan Nurul Izzah

Share

Tentu ramai yang tertanya apa agaknya pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap corak kempen yang hangat Datuk Seri Rafizi Ramli dan anaknya Nurul Izzah dalam saingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

Presiden PKR itu telah menyentuh hal ini dalam ucapan perasmian beliau di Konvensyen Nasional PKR di Johor Bharu Jumaat malam.

Beliau akui ada sikit keterlanjuran.

Namun beliau tidak sebut apa keterlanjuran yang mereka lakukan.

“Saya lihat kedua-dua pihak ada terlanjur, jadi jangan hukum antara satu sama lain. Saya sebagai bapa bagi nasihat kepada semua.

“Apa yang penting kita bersama dan kalau berkawan puluhan tahun, bergelut susah payah bersama dan menderita puluhan tahun, takkanlah dengan apa yang kita anggap kesilapan kecil itu, tidak boleh dimaafkan.

“Kalau saya, ikhlas saya maafkan semua,” katanya.

Dalam pada itu juga Perdana Menteri berkata,beliau menerima teguran terhadapnya walaupun tidak menjawab semua isu yang dibangkitkan oleh calon-calon yang bertanding.

“Ini termasuk (teguran) daripada Rafizi, Nurul Izzah, Amirudin Shari dan tokoh-tokoh lain. Ada terrasa sikit biasalah, tapi saya secara positif terima baik kerana beri teguran supaya ingatkan kita dalam dasar, (itu) tidak salah,” katanya lagi.

Anwar juga secara terbuka memohon maaf kepada jentera dan ahli PKR kerana kurang memberi perhatian terhadap pengukuhan dalaman parti sejak menjadi Perdana Menteri.

Katanya, keutamaannya sejak memegang jawatan itu lebih tertumpu kepada pentadbiran negara dan usaha membawa Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang di pentas antarabangsa.

“Saya harus mohon maaf, sepanjang hampir tiga tahun menjadi Perdana Menteri saya paling kurang mengambil berat soal keutuhan parti.

“Apakah ini suatu keputusan yang wajar? Tidak. Saya terbeban dengan tanggungjawab yang baru dan saya mahu negara ini bangkit sebagai negara yang hebat.

“Saya punya cita-cita yang tinggi dalam beberapa tahun dalam usia yang lanjut untuk menjadikan Malaysia negara yang hebat,” katanya lagi.- 23/5/2025

Anwar undi kepimpinan baharu PKR

Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan tanggungjawab mengundi secara fizikal bagi pemilihan kepimpinan pusat parti di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru hari ini.

Anwar tiba kira-kira 12.07 tengah hari diiringi Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir di pusat pengundian itu yang menjadi lokasi berlangsungnya Kongres Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2024/2025 ialah Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh, Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Dr Wan Azizah turut menunaikan tanggungjawab mengundi.

Selesai mengundi, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra bersama perwakilan PKR serta petugas.

Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat PKR berlangsung hari ini merangkumi pemilihan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, yang bermula dari 8 pagi hingga 5 petang.

Sebanyak 32,030 perwakilan layak mengundi merangkumi 22,936 secara dalam talian dan 9,094 secara fizikal.

Selain Berjaya Waterfront Hotel, pengundian fizikal turut dilaksanakan di Kongres Wanita PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru manakala bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal dilaksanakan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching.

Pemilihan kali ini menyaksikan 251 calon menawarkan diri bertanding dalam pemilihan, merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.

Perdana Menteri tidak dicabar bagi jawatan Presiden, manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing, termasuk empat penyandang, iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Selain itu, Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan turut tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK, manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Ketua Wanita yang juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.

Dr Zaliha sebelum ini berkata keputusan pemilihan kepimpinan baharu dijangka diketahui paling awal malam ini atau 2.30 petang esok.

Pada 9.25 malam ini, Anwar dijadual merasmikan Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini dengan dihadiri barisan kepimpinan parti dan perwakilan. -23/5/2025

Read more

khabar terbaru