Wednesday - 28, May 2025

Anwar tulis surat pada Presiden Trump…minta anjur pertemuan ASEAN-Amerika

Share

Perhatian bertumpu ke Kuala Lumpur bila Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 ketika giliran Malaysia jadi pengerusi badan serantau itu berlangsung selama dua hari bermula pada hari ini,Isnin.

Dalam ucap utamanya di pembukaan sidang itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyentuh soal hubungan dengan Amerika yang kebelakangan ini diselubungi oleh kegusaran mengenai isu tarif perdagangan yang diumum oleh Presiden Donald Trump.

Anwar beritahu beliau telah menulis surat kepada Presiden Trump bagi memohon sokongan untuk menganjurkan satu pertemuan antara ASEAN dan Amerika.

“Saya telah mengambil inisiatif untuk menulis kepada Presiden Donald Trump bagi memohon kefahaman dan sokongan beliau dalam menganjurkan pertemuan antara Amerika Syarikat dan ASEAN, yang mencerminkan komitmen serius kita terhadap prinsip keterpusatan.

“Langkah ini bukan sahaja mencerminkan aspirasi kita, tetapi juga tanggungjawab kita. Ia berteraskan keyakinan bahawa masa depan ASEAN mesti dibina di atas dua tunjang utama iaitu pertumbuhan yang saksama dan mampan serta ketahanan yang berkekalan,” tambahnya.

Semalam Menteri luar Datuk Seri Mohamad Hasan beritahu pada sidang media Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bahawa Malaysia mengutus surat jemputan untuk mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika pada tahun ini kepada Washington.

Katanya, Putrajaya sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini masih menanti maklum balas pentadbiran AS terhadap surat diutus Perdana Menteri itu.

“Kita masih belum menerima jawapan rasmi daripada pihak Amerika.

“Namun kita berharap akan menerima maklum balas positif tidak lama lagi supaya sidang kemuncak ini dapat direalisasikan pada masa sesuai dalam tahun ini juga,” katanya.

Mohamad berkata cadangan penganjuran persidangan itu sudah dipersetujui di peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN.

Katanya, ia bagi memastikan blok itu tidak dilihat cenderung kepada mana-mana negara.

Selain itu Mohamad dilaporkan berkata Malaysia menyatakan kesediaan menjadi tuan rumah bagi penganjuran sidang kemuncak khas berkenaan namun segalanya masih bergantung kepada keputusan AS terhadap syor itu.

Pemimpin ASEAN yang hadir terdiri daripada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Filipina Ferdinand Marcos Jr, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.

Turut hadir Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao sebagai pemerhati dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Sempena sidang kemuncak itu, dua mesyuarat peringkat tinggi yang penting, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung kalinya, menjadi platform penting untuk memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.

– 26/5/2025

Read more

khabar terbaru